Rani Kulup Dikecam Pakar Motivasi
Masyarakat diminta tidak teruja dengan penganugerahan gelaran Datuk Paduka Mahkota Melaka kepada Abdul Rani Kulup Abdullah daripada individu yang mendakwa dirinya Sultan Melaka Darul Islam, Duli Yang Maha Mulia Tuanku Raja Noor Jan Shah Ibni Almarhum Yam Raja Tuah baru-baru ini.
Penulis dan pakar motivasi, Mejar (B) Mohammad Qayyum A. Badaruddin berkata, ia hanya strategi Presiden Pertubuhan Martabat Jalinan Muhibbah Malaysia (MJMM) untuk dilihat intelektual di mata masyarakat negara ini semata-mata.
“Itu strategi dia untuk dilihat bertanggungjawab kepada masyarakat dan tolonglah janganlah teruja dengan caranya itu.
“Apa inspirasi yang dibawakannya dari perjuangannya selama ini? Media juga mungkin memberi lebih promosi kepadanya sehingga dia berada pada tahap hari ini,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Mohammad Qayyum mengulas kenyataan Abdul Rani yang menyifatkan gelaran itu kemungkinan hasil perjuangannya membawa isu rakyat dan mempertahankan institusi Raja-Raja Melayu.
Dalam pada itu jelas Mohammad Qayyum, Abdul Rani juga perlu menjelaskan apa jasanya kepada negara yang boleh dibanggakan.
“Jasa itu sendiri sangat subjektif. Apa jasa dia yang sebenarnya. Jika dikatanya laporan polis, semua orang pun boleh buat yang sama,” ujarnya.
Sebelum ini, Setiausaha Raja Noor Jan yang hanya mahu dikenali sebagai Raja Ismail menafikan dakwaan mereka menjalankan perniagaan menjual pangkat kebesaran diraja termasuk kepada Abdul Rani.
Tegasnya, Raja Noor Jan hanya mengurniakan darjah kebesaran itu kepada individu yang benar-benar berbakti kepada masyarakat.
Terdahulu, Abdul Rani dilaporkan berkata, Facebook “troll”nya dilihat lebih popular daripada yang dimiliki Datuk Ahmad Maslan kerana pengajaran yang terkandung di dalam laman itu.
Tegasnya, walaupun laman itu dikendalikan ‘peminat’nya, ia dilihat memberi lebih banyak teladan dan bermanfaat daripada laman Facebook ‘troll’ Timbalan Menteri Kewangan itu sendiri.