6 Petanda PELIK Di Tasik Kenyir Sebelum Berlakunya Gempa Bumi
6 Petanda PELIK Di Tasik Kenyir Sebelum Berlakunya Gempa Bumi
Perubahan ‘pelik’ yang berlaku sejak enam bulan lalu akhirnya menepati ramalan penduduk setempat bahawa ‘sesuatu’ akan berlaku di Tasik Kenyir susulan gempa bumi lemah 2.7 magnitud dikesan dikawasan tersebut, malam tadi.
Menurut pengusaha perniagaan berbentuk penganjuran aktiviti memancing Ibrahim Anon, atau Ujang, 50-an, perubahan yang berlaku di Tasik Kenyir sejak September 2015 termasuk keadaan permukaan bumi dan fenomena ikan naik ke permukaan air yang tidak berlaku seperti kebiasaan menimbulkan tanda tanya kepada penduduk setempat.
“Musim tengkujuh tidak berlaku berbanding tahun sebelum ini. Malah, perubahan paling ketara yang dilihat sejak enam bulan lalu adalah apabila keadaan di bahagian hulu sungai mula kering dan dipenuhi dengan timbunan pasir.
“Musim ikan naik ke permukaan juga tidak berlaku. Ikan toman dan ikan sebarau biasanya akan naik ke permukaan air setiap musim pada penghujung tahun. Namun, keadaan itu tidak berlaku,” katanya yang berpengalaman selama 20 tahun menguruskan perniagaan memancing di Tasir Kenyir, ketika dihubungiMalaysian Digest, hari ini.
Ujang yang juga menguruskan perniagaan rumah bot di Tasik Kenyir berkata, berikutan perubahan tersebut, pihaknya dan kumpulan ‘kaki pancing’ sudah menjangkakan gempa bumi akan berlaku memandangkan insiden tersebut bukan pertama kali berlaku di sana.
Bagaimanapun ujarnya, gegaran yang turut dirasai di sekitar Kuala berang itu tidak menimbulkan suasana panik dalam kalangan penduduk setempat dan pelancong yang berada di Tasik Kenyir.
“Pengusaha bot sudah biasa dengan keadaan cuaca yang ekstrem dan gegaran semalam tidak dirasai di rumah bot kerana ia berada di permukaan air. Namun, gegaran itu mungkin dirasai oleh penduduk di kawasan darat,” jelasnya.
Ditanya mengenai jangkaan kebarangkalian gempa bumi susulan akan berlaku di Tasik kenyir, Ujang berkata; “Ya, gempa bumi akan berlaku lagi dan lebih besar kerana perubahan keadaan bumi di kawasan tersebut ada menunjukkan tanda-tanda. Dan sains sendiri juga mengakui bahawa fenomena alam seperti gempa bumi boleh berlaku dimana-mana.”
Namun, Ujang menasihati penduduk dan pelancong yang berhasrat untuk ke Tasik Kenyir supaya tidak bimbang memandangkan keadaan Empangan Tasir Kenyir adalah selamat.
“Ia (gempa bumi) perkara biasa. Empangan Kenyir juga tidak terjejas susulan gempa bumi malam tadi,” ujarnya.
Gegaran itu berpunca daripada tekanan dihasilkan air di dalam empangan. Daya yang terhasil daripada air dalam empangan itu menyebabkan batu batan di sekitar empangan melepaskan tenaga dan menghasilkan gegaran kecil itu.
Berdasarkan rekod, insiden gempa bumi di tasik buatan manusia terbesar Asia Tenggara yang berlaku malam tadi merupakan gegaran yang ke-27 selepas gegaran kali pertama berukuran 4.6 pada Skala Richter berlaku di kawasan berkenaan pada tahun 1984.
Bagaimanpun mengikut Jabatan Meteorologi Malaysia dalam kenyataan malam tadi, tiada ancaman tsunami berikutan gempa yang berlaku pada 9.25 malam itu, namun agensi itu sedang memantau perkembangan dan akan memaklumkan sebarang maklumat terkini.
Berikut adalah garis panduan yang telah disediakan oleh Jabatan Meteorologikal Malaysia sebelum ini.
Ketika berlakunya gempa bumi;
JIKA ANDA BERADA DI DALAM RUMAH:
- Kekal berada di dalam. Ambil perlindungan di bawah meja, bangku atau cari posisi selamat di sudut dalam rumah anda.
- Jauhkan diri anda dari perabot yang boleh terbalik kerana gegaran.
- Lindungi kepala anda dengan buku, selimut atau apa-apa yang dapat dicapai dari terkena serpihan gelas.
- Elakkan dari menghidupkan sebarang api kerana mungkin terdapat saluran gas yang bocor dan berisiko untuk meletup. Padamkan semua api.
JIKA ANDA BERADA DALAM BANGUNAN TINGGI:
- Ambil perlindungan dibawah meja atau perabot yang kukuh.
- Elakkan berdekatan dengan tingkap.
- Jangan merusuh ke pintu keluar.
- Elak penggunaan lif khuatir kegagalan bekalan kuasa elektrik.
- Kekal berada di tingkat yang sama jika berlaku apa-apa kecemasan.
JIKA ANDA BERADA DI LUAR:
- Pergi ke kawasan lapang jauh dari tiang elektrik, pokok, bangunan tinggi dan tiang lampu.
- Elakkan dari serpihan bangunan yang jatuh dengan berada jauh daripada bangunan yang berisiko tinggi.
- Jauhkan diri anda dari tiang elektrik yang telah jatuh.
- Kekal berada di kawasan lapang sehingga gegaran gempa bumi berhenti.
JIKA ANDA BERADA DI LALUAN PEJALAN KAKI SISI BANGUNAN:
- Awasi diri anda dari sebarang serpihan yang jatuh dari bangunan.
JIKA ANDA BERADA DI DALAM PASARAYA:
- Elakkan dari merusuh beramai-ramai ke pintu keluar.
- Jauhkan diri anda dari rak-rak barangan yang mungkin terbalik akibat gegaran.
JIKA ANDA BERADA DALAM KERETA YANG BERGERAK:
- Elakkan memberhentikan kereta anda di atas jambatan dan di bawah tiang elektrik.
- Kekal berada di dalam kereta sehingga gegaran berhenti
- Pastikan anda memandu di jalan yang tidak merbahaya setelah gegaran gempa bumi (jalan rosak,tiang elektrik, pokok, jalan tidak rata).
- Dengarkan radio untuk dapatkan maklumat terkini mengenai keadaan setelah gempa selesai.
- Tenangkan diri anda dan bersedia untuk gegaran kecil yang datang selepas gempa bumi. Kebiasaanya gegaran kecil ini tidak seteruk gempa yang asal namun berkapasiti untuk mengakibatkan lebih banyak kerosakan.
- Periksa diri anda bagi sebarang kecederaan. Gunakan alatan bantuan kecemasan bagi kecederaan ringan dan tunggu bantuan bagi kecederaan kritikal.
- Padamkan api jika terdapat sebarang kebakaran.
- Elakkan dari menggunakan peralatan yang rosak akibat gempa bumi.
- Jangan sentuh tiang elektrik yang telah tumbang ataupun objek yang berdekatannya.
- Periksa perpaipan anda sebelum menggunakan tandas.
- Simpan kembali ubat-ubatan dan bahan kimia yang berbahaya ke tempat asal.
- Elakkan makan dan minum makanan yang terdedah dengan serpihan kaca pecah.
- Gunakan telefon hanya untuk kecemasan.
- Jauhkan diri anda dari bangunan yang terkesan akibat gempa bumi. Gegaran kecil mungkin meruntuhkan bangunan tersebut.
- Pastikan jalan raya di kawasan gempa bumi boleh dilalui oleh kenderaan bantuan kecemasan.
- Berikan sokongan emosi kepada mangsa lain yang trauma kerana kejadian gempa bumi yang berlaku.