no comments

Pesawat Penumpang Antarabangsa Pakistan Bawa 48 Orang Terhempas

Pesawat Penumpang Antarabangsa Pakistan Terhempas, 48 Orang Terbunuh

Sebuah pesawat Pakistan yang membawa 48 orang penumpang terhempas pada Rabu ketika melakukan penerbangan domestik dari bandar utara pergunungan Chitral ke Islamabad, kata pihak berkuasa penerbangan.

Penerbangan PK661, Pakistan International Airlines (PIA) terhempas di wilayah Khyber Pakhtunkhwa, demikian menurut pihak berkuasa penerbangan awam kepada AFP.

Semua 48 mangsa yang menaiki pesawat malang itu terbunuh, sekaligus menjadikan ia salah satu daripada nahas penerbangan terburuk dalam sejarah negara itu.

Terdahulu kenyataan awal syarikat penerbangan itu memberitahu bahawa pesawat turboprop ATR-42 itu telah terputus hubungan dalam perjalanan dari Chitral.

“Sebuah pesawat telah terhempas dan penduduk tempatan memberitahu bahawa ia sedang terbakar.

“Polis dan pasukan penyelamat kini dalam perjalanan tetapi masih belum tiba di lokasi nahas,” kata Saeed Wazir, seorang pegawai kanan polis tempatan.

Pihak berkuasa penerbangan awam berkata, punca tragedi disebabkan salah satu daripada enjin turbopropnya gagal berfungsi semasa dalam penerbangan dari bandar Chitral ke Islamabad.

Bencana udara besar yang terakhir berlaku di Pakistan adalah pada tahun 2015 apabila sebuah helikopter tentera Pakistan terhempas hingga mengorbankan lapan orang termasuk duta Norway, Filipina dan Indonesia dan isteri-isteri duta Malaysia dan Indonesia.

Pasukan penyelamat, termasuk ratusan penduduk kampung berusaha membawa keluar mayat dari bangkai pesawat, yang ditemui beberapa ratus meter dari daerah Abbottavad di wilayah Khyber Pakhtunkhwa.

Menurut seorang wartawan AFP yang berada di lokasi kejadian berkata, sebahagian pesawat masih lagi terbakar selama lebih lima jam selepas terhempas.

Sementara itu, pasukan penyelamat mengumpulkan mayat dan meletakkan kesemuanya di dalam beg sebelum dibawa ke Islamabad untuk proses pengecaman. –mStar

Reply

facebook KLIK PANGKAH 2 KALI UNTUK TUTUP Button Close