Lelaki Dakwa Jumpa Pesawat MH370 Di ‘Google Earth’.. 4 Orang Amerika Dihantar Ke Lokasi, Tapi Disembunyikan Maklumat!
Setelah bertahun-tahun misteri kehilangan pesawat (MH370) milik Malaysia Airlines, menurut satu teori luar biasa, seorang lelaki mendakwa pesawat penumpang itu telah dikesan di ‘Google Earth‘ dalam keadaan berlubang ditembusi peluru.
Peter McMahon, yang merupakan seorang jurutera mekanikal Australia, yang mendakwa telah bekerja dalam siasatan nahas selama lebih dari 25 tahun menegaskan dia telah menemui pesawat tersebut, lapor Daily Star yang mana laporan tersebut turut dipetik oleh portal-portal lain seperti mirror.co.uk dan thesundaily.
McMahon, 64, telah meneliti imej NASA dan Google Maps sejak pesawat itu hilang dan telah ‘ditunjukkan’ ke Round Island, utara Mauritius.
Dia percaya pesawat itu terletak 10 kilometer di selatan pulau itu, yang belum diterokai oleh penyiasat. Dalam satu gambar yang diambil, terdapat garisan rangka kelihatan seperti sebuah pesawat di bawah permukaan air.
McMahon berkata dia telah menghantar penemuannya kepada Biro Keselamatan Pengangkutan Australia, yang mengesahkan ia berkemungkinan pesawat hilang tersebut.
Tetapi para pegawai Amerika dilaporkan mengarahkan mereka untuk terus melakukan carian di wilayah yang telah ditugaskan kepada mereka di Lautan Hindi.
McMahon memberitahu Daily Star Online bahawa empat orang Amerika telah dihantar ke Australia untuk melihat penemuan MH370 dan mendakwa mereka cuba menyembunyikan maklumat.
Selain bahagian utama, dia juga mendakwa telah menemui bahagian depan kabin di selatan Pulau Rodrigues, juga berhampiran Mauritius.
Ghyslain Wattrelos, yang kehilangan isterinya dan dua anak dalam tragedi tersebut, percaya pesawat itu ditembak jatuh.
Penerbangan itu yang membawa 239 orang penumpang dan anak kapal hilang, dipercayai di Lautan Hindi, ketika dalam perjalanan dari Kuala Lumpur ke Beijing pada 8 Mac 2014.
Australia, China dan Malaysia menamatkan pencarian yang menelan kos £115 juta pada Januari 2017.
Awal tahun ini, Malaysia bersetuju untuk membayar sehingga £50 juta kepada syarikat dari Amerika Syarikat, Ocean Infinity jika berjaya menjumpai pesawat itu sebelum Jun.
–mStar Online