no comments

Kenapa Perlu Azan dan Iqamah di Telinga Bayi Baru Lahir?

Di petik dari FB Ustaz Jafri Abu Bakar Mahmoodi

Soalan:

Apabila kita di kurniakan seorang anak, menjadi amalan kita untuk azan dan iqamah di telinga anak tersebut. Adakah ini sunnah atau hanya amalan orang-orang tua dalam masyarakat melayu?

Jawapan:

Amalan mengazankan pada telinga kanak-kanak yang baru lahir adalah perintah dalam Islam. Ini dijelaskan dalam hadith berikut:

“Sesiapa yang dikurniakan anak lalu diazankan pada telinga kanan dan diiqamahkan pada telinga kiri, pasti tidak akan diganggu oleh syaitan Ummu Sibyan”.

Hadith ini menjelaskan, amalan seperti ini adalah ibadat dan bukan seperti yang dianggap oleh sesetengah orang sebagai adat yang dilakukan oleh orang-orang tua dahulu. Azan pada telinga kanak-kanak besar hikmatnya. Menurut pendapat ulama, pendengaran kanak-kanak yang baru dilahirkan masih ditutupi dengan selaput nipis yang hanya akan pecah apabila mendengar suara atau bunyi-bunyian, lebih-lebih lagi sekiranya suara itu hampir dengan telinganya.

Oleh yang demikian, disunatkan kita azan pada telinganya supaya selaput itu pecah dan suara pertama yang masuk ke dalam telinganya adalah kalimah syahadah, takbir, kalimah tauhid dan sebagainya yang terkandung dalam kalimah-kalimah azan. Ini akan menjadi alas bagi memudahkan kanak-kanak itu menerima pendidikan ke arah kebaikan semasa membesar.

Ruj: Dato’ Dr Harun Din, Dato’ Abu Hasan Din & Ishak Din. Menjawab persoalan fekah harian. 2007. PTS Millenia Sdn Bhd.

Wallahu a’lam

Reply