no comments

Penyanyi Popular Era-60an R Ismail Mɛningg@l Duni4

Penyanyi veteran yang popular pada era 1960-an, R Ismail,telah menghembuskan nafas terakhirnya  di Hospital Besar Sengkang, Singapura pada jam 2.40 petang tadi.

Berita pemergian penyanyi berusia 83 tahun itu disahkan oleh anak bongsunya, Mohammad Elfie. Arwah meningg@l disebabkan kegagalan jantung, buah pinggang dan paru-paru.

Mohammad Elfie berkata, dia membawa bapanya ke hospital minggu lalu selepas arwah mengadu sakit perut, lemah badan dan tidak selera makan.

“Sebelum ini, arwah bapa pernah menghidap penyakit jantung, bagaimanapun sudah lama tidak menyerang.

“Doktor bertemu saya dan memaklumkan keadaan bapa sudah kritikal, pagi tadi. Mereka tidak mampu berbuat apa lagi berikutan bapa sudah berusia dan meminta saya berbincang bersama adik beradik untuk membawanya pulang.

“Arwah bapa masih boleh bercakap dan bergurau sebelum dimasukkan ke hospital. Bagaimanapun, keadaan arwah semakin lemah, mungkin kesan ubat dan ditempatkan di unit rawatan rapi (ICU),” katanya.

Katanya, arwah bapanya hanya beberapa kali membuka mata sepanjang dalam ICU.

“Degupan jantung lemah dan terpaksa menjalani rawatan dialisis sedangkan bapa tidak mempunyai sejarah penyakit buah pinggang. Bagaimanapun, saya dan keluarga reda atas pemergiannya.

“Doakan arwah bapa ditempatkan dikalangan insan beriman dan beramal soleh,” katanya. Jenazah arwah R Ismail dijangka akan dikebumikan esok pagi.

R Ismail atau nama sebenarnya, Ismail Abdul Rahman dilahirkan di Singapura meninggalkan balu, Rokiah Mat Shukor, 70.

Menerusi perkahwinan bersama Rokiah dikurniakan empat cahaya mata dan enam cucu. Penyanyi yang sering mendendangkan lagu Melayu asli untuk stesen radio dan televisyen di Malaysia serta Singapura itu mempunyai tujuh cahaya mata lain menerusi perkahwinan pertama.

R Ismail yang memiliki suara emas dikenali dengan lagu popular seperti Seri Mersing, Laila Majnun, Selasihku Sayang, Tudung Periuk, Gelombang dan Dari Hati Ke Hati dibesarkan dalam lingkungan keluarga seni.

Bapanya, A Rahman adalah penyanyi dan penggubah lagu terkenal pada era 1940-an dan 1950-an.

Allahyarham memulakan kerjaya nyanyian pada usia 11 tahun dan merakamkan lagu pertama berjudul Setangkai Bunga Raya dalam bentuk piring hitam. Beliau kerap muncul dalam rancangan Radio Malaya sekitar 1950-an mendendangkan lagu asli dan pernah muncul juara dalam pertandingan dianjurkan Sriwana dan Radio Televisyen Singapura.

Suara emas dimilikinya mendapat perhatian pengarah muzik, Kassim Masdor, Zubir Said, Zainal S Abbas, Ismail Kassim dan ramai lagi sekitar 1960-an.

Kemerduan suaranya menyebabkan penerbit filem tertarik menggunakan suaranya sebagai suara latar filem mereka. Allahyarham pernah meminjamkan suara untuk filem Lela Satria arahan S Roomai Noor.

Difahamkan, beliau meminjamkan suara untuk lebih 10 filem dan kebanyakannya untuk filem lakonan Allahyarham Nordin Ahmad kerana memiliki tona suara yang sama. Antaranya, Lancang Kuning, Dang Anum, Jula Juli Bintang Tujuh, Indera Bangsawan dan Gurindam Jiwa.

Al-Fatihah. Semoga roh arwah dicucuri rahmat dan ditempatkan dalam kalangan orang-orang beriman dan beramal soleh.

Reply