no comments

Ada Gangguan! Pengesahan Jantina Sebenar Sajat Sukar.. JAKIM Dedahkan Dihalang Pihak Ketiga!

Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) mendakwa telah ‘dihalang’ untuk mendedahkan keputusan mengenai identiti dan jantina sebenar usahawan kosmetik, Nur Sajat Kamaruzzaman setelah sebulan dalam prosedur.

Penolong Pengarah Kanan, Cawangan Sosial, Bahagian Pembangunan Keluarga Sosial dan Komuniti Jakim, Dr Mohd Izwan Md Yusof mendedahkan prosedur itu ‘dihalang’ oleh orang ketiga di pihak Sajat.

“Ada gangguan daripada pihak ketiga buat masa sekarang ini,” katanya kepada portal berita mstar pada petang semalam tanpa mendedahkan siapa individu terbabit.

Pada 19 Januari lalu, Mohd Izwan dalam satu kenyataan berkata, Jakim bersetuju beberapa proses perlu dilalui oleh Sajat untuk pengesahan identitinya secara rasmi, dan dijangkakan dalam tempoh sebulan paling minimum.

Ditanya bila prosedur tersebut ‘dihalang’ oleh pihak ketiga, Mohd Izwan hanya berkata: “Apa-apa kami akan maklumkan kemudian, tapi pada masa ini ada terhalang.”

Bagaimanapun, Mohd Izwan yang juga pakar dalam menangani lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT) Jakim berkata, pihaknya tetap komited meneruskan proses untuk mendapatkan pengesahan identiti sebenar usahawan itu bagi menjawab persoalan masyarakat.

“Kita akan cuba selagi upaya untuk memujuk Sajat meneruskan proses-proses itu. Kita berharap agar dapat diteruskan apa yang telah dipersetujui dalam pertemuan dulu,” katanya yang enggan mengulas lanjut, namun menjelaskan bahawa persetujuan yang dimaksudkan adalah mendapat kerjasama di pihak Sajat.

Difahamkan. mStar telah menghubungi Sajat dan sedang menunggu maklum balas daripada usahawan kosmetik itu berhubung perkara tersebut.

Dalam pada itu, beliau menafikan seorang pegawai wanita dari Jakim telah mengesahkan jantina sebenar Sajat, sebagaimana yang didakwa oleh seorang penulis blog ‘papagomo’ menerusi penstriman video secara langsung di laman Facebook.

“Ia hanya sebahagian perbualan daripada pegawai wanita di Jakim. Tentang pengesahan jantina hanya boleh dibuat oleh doktor pakar yang bertauliah sahaja,” jelas Mohd Izwan.

Sebelum ini, ekoran daripada desakan orang ramai, Jakim telah mengadakan satu pertemuan dengan usahawan kosmetik berkenaan bagi mendapatkan pengesahan mengenai identiti dan jantina sebenarnya di Wisma Nur Sajat di Shah Alam pada bulan lalu.

Mstar

Reply