Pendedahan Sebenar Isu Singkir Mukhriz
Ketua Wanita Umno Kedah, Datuk Maznah Hamid hari ini mendedahkan perkara sebenar disebalik sidang media Umno negeri itu yang menarik sokongan kepada Menteri Besar, Datuk Seri Mukhriz Mahathir.
Mendedahkan perkara itu, katanya, sebelum sidang media itu, mereka (kepimpinan Umno Kedah dan bahagian) telah dipanggil untuk menghadiri satu taklimat tertutup bersama kepimpinan.
“Selaku ketua sayap negeri dan bahagian, saya hadir untuk mengetahui perkembangan parti terutamanya di Kedah.
“Sebaik sampai langsung tiada mesyuarat mesyuarat taklimat, sebaliknya saya dan beberapa pemimpin lain diminta ke barisan depan untuk menyertai sidang media, sedangkan kami tak tahu apa sebenarnya dan tujuan sidang media diadakan,” katanya.
Beliau berkata demikian mengulas sidang media yang diketuai Timbalan Pengerusi Umno Kedah, Datuk Seri Ahmad Bashah Hanipah bersama hampir keseluruhan kepimpinan Umno Kedah semalam.
Katanya lagi, tidak semestinya kehadiran beliau di situ menyokong tindakan itu, sebaliknya hanya ingin mengetahui perkara sebenar.
“Saya amat berharap kepada kepimpinan Umno agar semua kembali rasional dalam membuat keputusan.
“Janganlah kita membuat sesuatu yang menyusahkan rakyat dan merugikan bangsa kit sendiri. Semoga Kedah kembali aman sejahtera,” katanya.
Sementara itu, Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (EXCO), Datuk Suraya Yaacob, menafikan majoriti kepimpinan UMNO di Kedah menolak Datuk Seri Mukhriz Mahathir sebagai Menteri Besar.
Justeru, beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Tiang, menyifatkan ‘serangan’ dibuat terhadap Mukhriz melalui sidang media khas semalam, sebagai suatu tindakan yang gelojoh dilakukan pemimpin tertentu.
Katanya, beliau tidak menerima sebarang jemputan bagi sidang media penolakan Mukhriz itu, malah sama sekali tidak akan menyokong perbuatan seumpama itu.
“Tak boleh kata seluruh kepimpinan UMNO (Kedah) tolak Menteri Besar… kalau seluruh kepimpinan maknanya Ketua UMNO cawangan pun termasuk sekali… itu hanya melambangkan mereka yang berada di situ.
“Saya tidak dijemput dan tak akan sokong sebab itu bukan cara dalam UMNO… tak menjangka ia akan jadi sebegitu drastik, ” katanya.
Seorang lagi EXCO Kedah, Datuk Tajul Urus Mat Zain, yang hadir pada sidang media semalam pula, mengakui ragu-ragu sama ada kaedah dilakukan Timbalan Pengerusi Perhubungan UMNO Kedah, Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah dan pemimpin UMNO lain itu betul atau tidak.
Tajul Urus berkata, beliau tidak dimaklumkan lebih awal mengenai inti pati sidang media itu dan hanya mengetahuinya sebaik hadir di Hotel Grand Alora, selepas diminta hadir.
“Ia menjadi pertanyaan pada saya sama ada ini kaedah yang betul… soal pucuk pimpinan dah tak boleh (diterima) adalah biasa, namun kaedah dia tu… saya tiba di sidang media itu dan bertanya pelbagai soalan, namun akhirnya saya akur di situ sahaja.
EXCO Kedah, Datuk Amunuddin Omar, berkata beliau turut tidak mendapat jemputan bagi menghadiri sidang media itu.
Beliau yang menyokong penuh kepimpinan Mukhriz berkata, tindakan sidang media itu dibuat secara dasarnya seolah-olah tidak menghormati Undang-undang Tubuh Negeri Kedah, iaitu Menteri Besar dilantik atas perkenan Sultan Kedah.