no comments

‘Peneman Setia, Aiman Ibarat Nyawa Ibu’

Fatihah Nosri, 31, kakak sulung kepada pemandu Grab, Aiman, 27 tahun, yang ditemui tidak bernyawa dengan kesan melecet pada leher di kawasan letak kenderaan di Taman Selayang Baru, Selangor meluahkan kesedihannya.

“Dia ibarat ‘nyawa’ ibu. Dia peneman setia ke mana saja ibu pergi.”

Fatihah berkata, Aiman keluar dari rumah di Taman Kasturi Heights, Nilai sekitar tengah hari Khamis lalu dan memberitahu ibu mereka, Norizawati Dani, 52, mahu menghantar pelanggan dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) ke Puncak Alam, Selangor.

“Adik (Aiman) tidak pulang ke rumah malam itu, tapi itu biasa kerana dia kerap begitu.

“Jika tidak pulang, adik akan tidur di rumah kawan atau dalam kereta kerana kepenatan. Paling lewat Aiman akan pulang esoknya dan menghubungi ibu bagi memaklumkan mana dia berada,” katanya ketika ditemui di Masjid Dato Klana Petra, Nilai, hari ini.

Fatihah berkata, ibu dan bapa tirinya, Johari Abu Bakar, 52, bimbang apabila Aiman tidak pulang sehingga petang kelmarin.

Katanya, Aiman juga tidak menghantar mesej menerusi WhatsApp atau menghubungi keluarga hingga menyebabkan mereka tertanya-tanya.

“Bapa tiri membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sepang pagi semalam kerana bimbangkan keselamatan adik,” katanya.

Fatihah berkata, polis menghubungi ibunya kira-kira jam 7 malam semalam dan memaklumkan adiknya ditemui mati dalam kereta serta dipercayai dibunuh berikutan ada kesan melecet di leher.

Katanya, Aiman adalah lepasan diploma Universiti Selangor (Unisel) dan membawa Grab secara sepenuh masa sejak setahun lalu.

“Aiman bersungguh-sungguh mahu mencari pendapatan bagi membantu keluarga dan mengubah nasib dirinya.

“Dia juga melakukan kerja sambilan membabitkan multimedia, laman web dan pengaturcaraan,” katanya.

 

Aiman Nosri dijumpai di tempat duduk belakang kereta Perodua Myvi berkenaan, dan polis percaya mangsa sudah tidak bernyawa sejak khamis lalu.

Ketika ditemui, arwah dalam keadaan terlingkup dengan bahagian kepala mengenai lantai kenderaan itu, manakala kakinya di atas.

Timbalan Ketua Polis Daerah Gombak Superintendan Tey Kong Seng berkata, sebelum kejadian, pihaknya dimaklumkan oleh bapa tiri lelaki terbabit untuk membuat pemeriksaan di dalam kereta mangsa.

Beliau berkata, susulan itu, anggota polis Unit Rondaan Bermotosikal (URB) ke lokasi.

“Sebaik tiba, anggota berkenaan menemui mangsa di dalam kenderaan berkenaan.

“Anggota perubatan dari Hospital Selayang yang tiba tidak lama kemudian mengesahkan mangsa sudah meninggal dunia,” katanya.

Tey berkata, siasatan awal mendapati tiada kesan kecederaan ketara ditemui pada badan mangsa.

“Bagaimanapun, terdapat kesan melecet pada leher mangsa. Kami tidak menemui sebarang senjata di lokasi kejadian.

“Pemeriksaan lanjut mendapati tiada kamera litar tertutup (CCTV) di sepanjang jalan masuk ke lokasi kejadian.

“Malah, tiada saksi yang melihat kejadian berkenaan,” katanya yang memaklumkan pemeriksaan turut dibantu oleh Unit Forensik Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor.

Beliau berkata, pihaknya merampas dua telefon bimbit, kasut, stokin dan baju-T yang ditemui di dalam kereta berkenaan.

Reply