no comments

Pemandu Bas RapidKL Lalok Syabu Rupanya…

Susulan lagak ngeri pemandu bas RapidKL ala ‘GTA’ yang merempuh tujuh kenderaan di Jalan Ampang, malam semalam, pihak Polis petang ini telah mengesahkan pemandu berusia 32 tahun itu dibawah pengaruh syabu.

Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Seri Mazlan Lazim berkata, pemandu itu kini ditahan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

“Siasatan juga dibantu oleh polis Selangor dan polis Kuala Lumpur. Lelaki terbabit ditahan oleh polis Ampang kerana insiden itu berlaku di kawasan berkenaan.

“Bagaimanapun, kita masih menjalankan siasatan lanjut berhubung kes ini,” katanya pada sidang media, hari ini.

Mengulas berhubung dakwaan beberapa orang membelasah pemandu itu, Mazlan berkata, pemandu terbabit perlu membuat laporan polis terlebih dahulu.

“Kita akan melakukan siasatan selepas menerima aduan,” katanya.

Dalam kejadian kira-kira 8 malam semalam, sekurang-kurangnya empat cedera selepas tujuh kereta dilanggar bas Rapid KL yang dalam perjalanan dari Kampung Keramat menghala ke Lebuhraya Lingkaran Tengah 2 (MRR2).

Rempuhan itu bermula di hadapan bangunan RISDA di Jalan Ampang dan berakhir di simpang Jalan Ampang atau MRR2.

Video sepanjang 1 minit 40 saat mengenai kejadian itu tular malam tadi memaparkan bas berkenaan dipandu dengan laju sambil dikejar penunggang motosikal.

Penunggang motosikal itu memaki hamun pemandu bas berkenaan yang dikatakan melanggar ibunya, sebelum pemandu bas terbabit melarikan diri apabila kenderaan itu tidak bergerak selepas merempuh kenderaan lain.

Pemandu bas kemudian bertindak meninggalkan bas terbabit dan melarikan diri sebelum berjaya ditahan oleh pengguna jalan raya yang kemudian turut bertindak agresif memukul pemandu bas terbabit.

Akibat itu, pihak RAPIDKL sedia membayar ganti rugi kepada semua pemilik kenderaan yang rosak dilanggar pemandu bas RapidKL itu.

Ketua Pegawai Operasi RapidKL Shamsul Rizal Mohd Yusof berkata, semua pemilik kenderaan terbabit boleh menghubungi talian bantuan di 03 7885 2585.

“Pemilik kenderaan terbabit perlu melalu beberapa prosedur untuk menuntut ganti rugi termasuk membuat laporan polis berhubung kejadian itu,” katanya pada sidang media di Depoh Rapid KL Maluri, hari ini.

Reply