Pelakon Muda Dari Indonesia, Tissa Biani Teringin Berlakon Bawah Syamsul Yusof
Shah Alam- Pelakon Baharu kelahiran Indonesia yang cukup popular dengan filem seram, KKN Desa Penari yang dikenali Tissa Biani berkongsi keinginannya untuk berlakon dalam filem atau dibawah arahan pengarah filem sensasi Syamsul Yusof.
Tissa atau pemilik nama sebenar Tissa Biani Azzahra mengatakan, dia sudah tahu kredibiliti dan kemampuan Syamsul hasil kejayaan dalam filem Mat Kilau Kebangkitan Pahlawan.
“Kalau bicara pasal Malaysia, saya sempat mendengar tentang filem pecah panggung dan paling box office di negara ini iaitu Mat Kilau: Kebangkitan Pahlawan.
“Ramai sekali memuji filem yang dihasilkan di Malaysia ini bahkan berita ini sampai ke Indonesia yang turut ditayangkan di sana.

“Saya rasa teringin juga ingin berlakon filem di Malaysia ini. Kalau diberi pilihan, pengarah, orangnya pengarah filem Mat Kilau (Syamsul Yusof) saya tidak begitu tahu terperinci tentangnya tapi filemnya sempat saya ketahui kerana viral jugak kan” Kongsi Tissa kepada Kosmo Online.
Kongsi Tissa yang telah menjadi peranan penting membawa watak Nur dalam KKN Di Desa Penari, dia akan cuba mengambil peluang dan kesempatan untuk terlibat sebagai pelakon bersama produksi filem atau drama di Malaysia.
“Mungkin suatu masa nanti, saya juga boleh sertai projek lakonan di Malaysia, kalau berkesempatan yang bisa didapatkan di sini, mengapa tidak” Ujar Tissa yang telah memiliki 4.5 juta pengikut di Instagram.
Filem KKN Di Desa Penari ini telah memberikan Tissa Biani sebagai watak penting, filem ini turut dibintangi Adinda Thomas sebagai Widya, Aghniny Haque sebagai Ayu, Ahmad Megantara sebagai Bima dan Calvin Jeremy sebagai Anton.
Filem ini adalah berkisar kepada kisah benar yang telah berlaku kepada enam orang pelajar yang sedang melakukan tugasan universiti di sebuah perkampungan di tahun 2009. Enam pelajar tersebut adalah Nur (Tissa Biani) diikuti kawan-kawanya Ayu, Widya, Wahyu, Bima dan Anton.

Perkampungan yang menjadi tempat tugasan mereka itu ternyata mempunyai banyak misteri sehingga mereka terpaksa mematuhi arahan. Mereka terus mengalami pelbagai kejadian seram kerana ada di antara mereka yang telah melanggar arahan. Walaubagaimanapun, lokasi sebenar latar cerita telah diubahsuai kepada nama Desa Penari.
Minat yang telah ditunjukkan oleh Tissa Biani untuk berada dibawah arahan pengarah filem Malaysia telah membuktikan filem Malaysia hari ini sudah berada pada taraf yang cukup membanggakan. Kejayaan filem Mat Kilau secara tidak langsung telah mempromosikan industri perfileman tanah air ke fasa yang lebih tinggi.

Syamsul Yusof telah mengikuti jejak bapanya Dato Yusof Haslam yang dulu pernah digelar Million Dolar Man selepas banyak kejayaan kutipan penonton dalam setiap filem yang dilancarkan. Syamsul Yusof mula dikenali sebagai pengarah muda dan sensasi selepas kejayaan beliau menghasilkan filem box office seperti Munafik, KL Gangster, Khurafat dan yang terkini Mat Kilau.
Mengikut perkembangan terkini, Syamsul Yusof dalam perancangan untuk menerbitkan filem genre seperti KL Gangster yang masih dalam pembikinan ketika ini. Selepas kejayaan filem-filem dibawah arahan Syamsul, dapat dilihat, hari ini, beliau sudah mempunyai pengikutnya yang tersendiri yang pasti akan ternanti-nanti karya-karya baharu yang akan dilancarkan.
Untuk makluman anda, filem pecah panggung terkini beliau iaitu Mat Kilau: Kebangkitan Pahlawan telah mencapai kutipan RM97 Juta sekaligus menjadi filem kutipan tertinggi di Malaysia dan tertinggi dalam sejarah perfileman Malaysia. Beliau telah berjaya membawa persepsi baharu di Malaysia bahawa walaupun filem bergenre epik atau sejarah, tetap mampu mendapat kutipan yang tinggi sekiranya susunan cerita, skrip dan pelakon dapat dilakukan dengan cara yang baik dan menarik.