Adakah anda mengetahui mengenai Skim Peduli Kesihatan bagi kumpulan B40 yang dikenali sebagai PeKa B40?
Ianya adalah inisiatif kerajaan di bawah Kementerian Kesihatan untuk menampung keperluan kesihatan kumpulan B40 atau golongan yang berpendapatan rendah dengan mengutamakan penyakit tidak berjangkit (NCD).
Apa yang perlu dibuat?
Senang saja, penerima hanya perlu membawa kad pengenalan ke klinik swasta yang dikenalpasti Klinik PeKa B40 untuk membuat pemeriksaan kesihatan (Manfaat 1).
Jika penerima menghidap penyakit dan perlu mendapatkan pemeriksaan dan rawatan susulan di hospital kerajaan, penerima bakal layak mendapat 3 lagi manfaat selanjutnya.
Tiada caj dikenakan kerana ianya ditanggung oleh kerajaan.
Semakan PeKa B40 Online
Sekiranya anda penerima Bantuan Sara Hidup 2019 dan berumur 50 tahun ke atas, maka anda secara automatik layak mendapat manfaat program Skim Peduli Kesihatan ini.
Untuk lebih yakin, anda boleh semak kelayakan di https://kelayakan.pekab40.com.my/semakan-kelayakan
Anda hanya perlu memasukkan nombor kad pengenalan dan tekan butang SEMAK.
Manfaat Skim Peduli Kesihatan B40
Berikut adalah empat manfaat program PeKa B40 iaitu:
- Manfaat 1: Saringan Kesihatan
- Manfaat 2: Bantuan Alat Perubatan
- Manfaat 3: Insentif Melengkapkan Rawatan Kanser
- Manfaat 4: Insentif Tambang Pengangkutan
Proses untuk memperolehi manfaat PeKa B40 adalah seperti berikut:
- Langkah 1: Semak kelayakan di sini.
- Langkah 2: Jika layak, lawati klinik PeKa B40 berdekatan yang dikenalpasti melalui pelekat logo PeKa B40 dengan membawa MyKad.
- Langkah 3: Pemeriksaan kesihatan akan dibuat semasa lawatan pertama di klinik.
- Langkah 4: Lawatan kali kedua bagi memperolehi keputusan makmal daripada doktor dan tindakan seterusnya samada rujukan ke Fasiliti KKM atau Program Sihat Cergas KKM.
Berikut adalah butiran setiap manfaat:
Manfaat 1: Saringan Kesihatan
Setiap penerima perlu membuat pemeriksaan kesihatan di mana-mana klinik yang berdaftar dengan PeKa B40 bagi memperolehi ketiga-tiga manfaat lain.
Saringan kesihatan ini merangkumi:
- pengambilan rekod kesihatan juga penyakit penerima dan keluarga termasuk penyebab risiko kesihatan
- pemeriksaan mental
- ujian fizikal
- pemeriksaan klinikal payudara bagi penerima wanita, manakala pemeriksaan klinikal prostat bagi penerima lelaki
- ujian darah juga ujian air kencing
Pemeriksaan kesihatan ini boleh dilakukan secara percuma kecuali jika penerima bersetuju untuk dirawat di Klinik Swasta, penerima PeKa B40 perlu membayar sendiri kos rawatan tersebut.
Manfaat 2: Bantuan Alat Perubatan
Melalui manfaat ini, PeKa B40 menyediakan bantuan sehingga RM20,000 untuk membeli alat-alat perubatan seperti:
- Stent jantung
- Alat sendi tiruan
- Alat bantuan pendengaran
- Perentak jantung
- Prostesis dan implan tulang belakang
- Prostesis dan ortosis tulang anggota
- Kanta mata intraokular
- Alat terapi pernafasan dan oksigen konsentrator
- Bantuan sokongan nutrisi
- Kerusi roda
Manfaat 3: Insentif Melengkapkan Rawatan Kanser
Sekiranya penerima disahkan mengidap kanser, penerima akan menerima bayaran RM1,000 bagi melengkapkan pelan rawatan di hospital KKM.
Pembayaran dibahagikan kepada dua kali bayaran dan dibayar secara terus ke akaun penerima.
Manfaat 4: Insentif Tambang Pengangkutan
Dan menariknya melalui program ini penerima akan menerima bantuan RM500 (Semenanjung) / RM1,000 (Sabah / Sarawak) bagi meringankan beban membayar kos perjalanan mendapatkan rawatan di hospital.
Jumlah insentif tambang yang akan diserahkan adalah tertakluk kepada jarak dari hospital ke rumah penerima dan pada kadar yang telah ditetapkan.
Diharapkan dengan bantuan yang diwujudkan oleh kerajaan ini sedikit sebanyak dapat mengurangkan beban anda.