Patutlah… Ini Rupanya Punca Pengunjung Makin Berkurang ke Langkawi?
Cuti berterusan Hari Malaysia 16 September dan Hari Kemerdekaan yang lalu telah membuka ruang untuk warga Malaysia mengambil peluang untuk bercuti bersama keluarga.
Destinasi pilihan utama sudah tentulah tempat-tempat pelancongan di Malaysia. Pulau Langkawi sudah tentu menjadi salah satu pilihan destinasinya.
Namun, lain pula ceritanya tentang data terbaru yang dikeluarkan oleh Persatuan Pelancongan Langkawi (LTA).
Lebih 60% rakyat negara kita memilih untuk melancong ke negara jiran. Apa yang lebih menghairankan, ramai dalam kalangan rakyat Malaysia memilih negara Thailand sebagai pilihan berbanding bercuti di pusat pelancongan tempatan.
Tambah pihak LTA lagi, Pulau Langkawi kini berdepan dengan penyusutan kedatangan pelancong, terutamanya pelancong domestik.
Satu analisis perbezaan data telah dibuat dengan membuat perbandingan antara tahun 2019 sebelum Covid dengan tahun 2022 yang kini dibuka bebas sepenuhnya.
Ciri-ciri persamaan ini menunjukkan, pada cuti Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia yang lalu, data menunjukan penurunan sehingga 48.9%.
Mengikut Laporan juga, penyusutan ini mengakibatkan kerugian menjangkau RM5.7 juta kesan daripada pengurangan pelancong domestik ini.
Ini termasuk aktiviti penginapan yang mengalami kemerosotan sehingga 45% yang boleh dilihat dari trend tempahan hotel di Langkawi.
Penyusutan ini turut dikenalpasti disumbangkan oleh faktor masalah ekonomi yang mencakupi isu promosi, pengangkutan feri dan banyak lagi. Kesemua operasi ini mengalami kenaikan kos yang semakin meningkat disamping penurunan nilai ringgit.
Namun lain pula jawapan yang dikeluarkan oleh Menteri Besar Kedah, Sanusi Md Nor..
Beliau berkata, sebarang kempen yang bersifat negatif dengan membuat perbandingan kelebihan bercuti di Thailand harus dihentikan.
Ini berikutan terdapat beberapa perkongsian di media sosial, bahawa ramai yang melancong ke Thailand kerana hotel dan makanan di sana jauh lebih murah berbanding di Langkawi.
” Kalau mereka pergi ke sana, kita tak boleh halang kerana bagi saya, itu perkara normal dalam industri pelancongan. Sekiranya mereka pernah melancong ke Langkawi, akan datang mesti mereka nak pergi melancong ke tempat lain pula atau negara lain”
“Saya minta hentikan sebarang kempen promosi yang memburukan Langkawi, kerajaan negeri kini dalam usaha untuk meningkatkan daya tarikan di Langkawi dan Tanah Besar untuk menarik lebih ramai pelancong luar untuk berkunjung ke Negeri Kedah”, Lapor Bernama.
Tambah Sanusi lagi, Langkawi kini mencatatkan kemasukan pelancong yang menggalakkan daripada data Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA).
“Kalau ramai yang pergi ke Thailand, ini tidak bermakna kita akan terjejas teruk, trend ini hanya sementara sahaja” ujar Sanusi
Sebagai rakyat Malaysia, kita mempunyai hak untuk memilih destinasi pelancongan. Kita juga boleh membuat pertimbangan sewajarnya samada trend penurunan atau peningkatan pelancong ini samada ianya benar-benar berlaku atau sekadar propaganda.