Orang Lain Bergambar Dengan Mak Ayah, Anak Yatim Ini Pun ‘Bawa’ Ibu Dan Ayahnya Bersama Ke Hari konvokesyen Tetapi Hanya Sekadar Di Dalam Gambar
Kerinduan yang tidak berpenghujung adalah rindunya pada mak ayah yang telah pergi meninggalkan kita ke negeri abadi.
Perjalanan hidup setiap orang tidak sama seperti orang lain. Ada yang dari kecil sudah kehilangan mak ayah. Memang sedih dan pedih kehilangan mak ayah pada usia muda. Lebih sedih bila di hari bersejarah konvokesyen, kawan-kawan ditemani mak ayah tetapi kita sendirian tanpa kedua insan terpenting itu.
Menerusi perkongsian dari Amir Rusydi ini, graduan dari Jordan University Of Science And Technology yang baru memperoleh ijazah dalam bidang pergigian ini boleh buat hati sebak. Bayangkan, impian kita macam-macam tapi perancangan Allah itu lebih dari segala-galanya.
Kata Amir, di hari konvokesyen, semua kawan-kawannya ditemani mak ayah yang berbangga dengan kejayaan anak masing-masing tapi dia hanya mampu ditemani potret mak ayahnya kerana kedua ibu bapanya sudah meninggal dunia sejak ketika dia belum pun mengambil SPM.
Baca kisah perkongsiannya;
“Hari ini, tepat 10 tahun yang lepas (19/6/2009) nikmat untuk memiliki seorang ayah di dunia telah ditarik. Hilang separuh dari kekuatan hidup. Demi seorang mak yang nak melihat anak – anak berjaya, perjalanan mesti diteruskan.
Alhamdulillah, berjaya dapat keputusan yang cemerlang dalam UPSR, PMR dan SPM. Tapi tak sangka Allah ambik nyawa mak seawal itu, (13/12/2013), 10 hari selepas habis peperiksaan SPM. Walaupun dah bertahun – tahun kehilangan, tapi masih berharap semua yang terjadi ni suatu mimpi.
Plan asal nak pergi ambik keputusan SPM dengan mak ayah dah tak tercapai. Tapi waktu tu hanya mampu cemburu tengok orang lain bergambar dengan mak ayah masing-masing. Dan masa tu jugak terfikir, nanti majlis konvokesyen universiti, aku mesti bawak mak ayah sama-sama jugak 🤗
Alhamdulillah, 17/6/19, hari secara rasminya aku tamat ijazah pergigian, dapat jugak bergambar dengan mak ayah, walaupun sekadar gambar di dalam gambar. Tapi rasa gembira sebab dapat bawak mak dan ayah sama-sama di hari bahagia ni. Hadiah untuk mak ayah.
Aku selalu terbaca di media sosial, anak-anak yang kehilangan ibu bapa akan tercicir dalam pelajaran, akan gagal dalam hidup. Alhamdulillah hari ini seorang anak yatim piatu berjaya buktikan yang tak semua sangkaan dan andaian orang awam ni betul 🤗
Semoga mak dan ayah sentiasa gembira dan bahagia di alam sana. Semoga setiap kebaikan dan pahala diperoleh sebagai seorang doktor nanti dapat disalurkan kepada mereka di alam sana.“
With love,
Your little dentist, Jordan university of science and technology
Perkongsian itu telah mencuri perhatian ramai di media sosial. Netizen rata-ratanya tersentuh selepas membaca luahan dan melihat gambar beliau memakai jubah konvokesyen sambil memegang gambar bapanya Mohd Nasir Hassan dan ibu, Kamariah Mohd Razhali yang telah meninggal dunia.
Kata graduan Ijazah Pergigian Jordan University of Science and Technology itu, dia tidak menyangka hantarannya boleh tular kerana sekadar berkongsi apa yang terbuku di hati, namun gembira jika perkongsian itu dapat memberi inspirasi kepada orang lain.
Anak kelapan daripada 10 beradik itu berkata, gambar itu dibawa bersama ke majlis berkenaan bagi mengabadikan kenangan ibu bapanya yang sudah meninggal dunia.
“Ayah saya meninggal dunia kerana serangan jantung pada 19 Jun 2009 manakala ibu akibat barah pada 13 Disember 2013, setahun sebelum saya menyambung pengajian di Jordan.
“Tipulah kalau tidak rasa berputus asa tetapi saya kuatkan semangat kerana mahu membanggakan ibu dan ayah walaupun mereka sudah tiada.
“Alhamdulillah, saya berjaya sempurnakan pengajian selama lima tahun di sini (Jordan) dan membuktikan status anak yatim piatu bukan penghalang untuk ke menara gading,” katanya.
Dia bercadang untuk pulang ke tanah air pada minggu depan selepas semua urusannya di Jordan selesai.
“Selepas kembali ke tanah air nanti, saya akan melapor diri di Majlis Pergigian Malaysia (DMC).
“Kemudian, saya akan berehat sementara menunggu tawaran untuk berkhidmat sebagai doktor gigi di hospital kerajaan yang ditetapkan,” katanya.
Menerusi hantaran pada 19 Jun 2019, Muhammad Amir Rusydi meluahkan rasa syukur dan kegembiraannya kerana dapat ‘membawa’ arwah ibu dan ayahnya bersama ke majlis konvokesyen, walaupun sekadar di dalam gambar.
Muhammad Amir Rusydi turut mendoakan kebahagiaan dan berharap kebaikan dan pahala diperoleh sebagai seorang doktor nanti dapat disalurkan kepada ibu bapanya.
InsyaAllah..