no comments

Orang kita, Anak Kelantan Terima Anugerah Rakyat Kehormat Seoul Korea, Namun Bukan Bermakna Dia Tukar Kewarganegaraan

Rakyat Malaysia, Muhamad Khalid Ismail, 32 tahun, telah menerima penghormatan dan penganugerahan darjah serta pingat Rakyat Kehormat Seoul daripada Kerajaan Metropolitan Seoul.

Pemilik saluran YouTube Kimchibudu yang juga anak kelahiran Kota Bharu, Kelantan itu menganggap ia sebagai satu penghormatan besar kepadanya sejak pertama kali menjejakkan kaki ke Seoul 14 tahun lalu dan menjadikan Korea Selatan sebagai kampung keduanya.

“Inilah penghormatan tertinggi pernah saya terima daripada pihak kerajaan di Korea Selatan. Terima kasih Seoul kerana menghargai usaha saya dan isteri dalam menjadikan Seoul sebuah bandar raya global yang mesra muslim dengan mengetengahkan pelancongan halal dan menjadi salah satu duta kecil menghubungkan Malaysia dan Korea Selatan.

“Tambah lagi tahun ini adalah ulang tahun ke-60 hubungan diplomasi antara Malaysia-Korea Selatan,” katanya dalam satu catatan di akaun Facebooknya, semalam.

Beliau berkata, majlis penganugerahan sepatutnya disempurnakan pemangku Datuk Bandar Seoul pada 25 November lalu, namun terpaksa dibatalkan disebabkan kes Covid-19 yang naik secara mendadak di kawasan itu dan hanya sesi fotografi diadakan untuk penerima.

Muhamad Khalid yang kini menetap di Seoul, turut memuat naik gambar beliau dan isterinya menerima anugerah itu.

Bagaimanapun, anugerah itu bukanlah bermaksud beliau menukar kewarganegaraan.

“Saya masih lagi warganegara Malaysia, Malaysia tanah airku,” katanya.

Permulaan popularitinya apabila beliau muncul pada sebuah rancangan televisyen negara itu sekitar tahun 2017, sehingga menjadi buah mulut di internet kerana fasih berbahasa korea.

Dalam rancangan itu, Khalid rancak menceritakan keunikan Malaysia hingga membuat penonton kagum.

Graduan Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Mekanikal di Universiti Korea Selatan dan bekas pelajar Maahad Muhammadi Lelaki di Kota Bharu itu juga fasih berbahasa Arab.

Kebolehannya itu telah menarik minat isterinya, (Lee Seul) dari Suwon, Gyeonggi untuk mengenalinya dan akhirnya mereka berkahwin pada April 2017.

Menceritakan detik pertemuan mereka, Khalid menyatakan dia mula berkenalan dengan isterinya dalam satu majlis sosial, namun waktu itu dia hanya banyak berbual dengan rakan isterinya.

Sebelum beredar, Khalid secara spontan mahu mendapatkan maklumat contact dari isterinya itu.

Perbualan dan perkenalan menjadi lebih rapat apabila Khalid tersalah menghantar teks mesej kepada Seul yang sepatutnya di hantar kepada rakan yang lain. Namun begitu, ia menjadi titik awal perkenalan mereka sehinggalah mereka menjadi makin rapat.

Khalid menyatakan Seul adalah gadis yang bijak serta mempunyai misi dan visi sealiran dengannya.

Menurutnya, gadis Korea biasanya sukakan lelaki tinggi lebih dari 170cm. Walaupun dirinya lebih rendah, isterinya tetap menerimanya seadanya.

Reply