Alhamdulillah.. Nor Aqilah Dah Sedar Selepas Seminggu Koma, Mula Beri Respon Pada Keluarga
Nor Aqilah Mohd Safwan, mangsa keempat yang terselamat dalam kejadian keracunan gas karbon monoksida dalam sebuah kereta di tapak parkir stesen minyak pada 17 September lalu dilaporkan sudah sedar daripada koma petang tadi.
Gadis berusia 21 tahun itu, sebelum ini dikomakan untuk tujuan rawatan di unit rawatan rapi (ICU) Hospital Angkatan Tentera Tuanku Mizan di Kuala Lumpur.
Nor Aqilah juga dilaporkan mengangguk kepala sebagai tanda mengenali ahli keluarga yang datang melawatnya.
“Alhamdulillah, adik Aqilah sudah sedar daripada koma dan mengangguk kepala tanda kenal ahli keluarga yang datang melawat dia,” kata Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah (SPT), Asisten Komisioner Shafee Abd Samad.
Petang tadi, mangsa dilaporkan stabil dan masih dalam pemantauan rapi oleh sepasukan pakar perubatan di hospital tersebut.
Bagaimanapun, mangsa masih di bawah pemantauan doktor dari semasa ke semasa.
Dalam kejadian minggu lalu, tiga daripada empat pelajar di sebuah kolej perubatan swasta di Batu Caves maut dipercayai akibat keracunan karbon monoksida apabila mereka tertidur semasa berehat di dalam kereta dengan cermin tingkap tertutup.
Kesemua mangsa menaiki sebuah kereta Honda Odyssey dikatakan berhenti di kawasan parkir sebuah stesen minyak di Sama Gagah, Butterworth selepas pulang dari Pulau Jerejak di Bayan Baru .
Mereka dikatakan dalam perjalanan pulang ke rumah masing-masing di Sungai Petani dan Gurun, Kedah.
Kesemua mangsa berhenti di stesen minyak itu pada jam 8.30 malam selepas Nor Aqilah yang memandu kereta tersebut memaklumkan dia pening dan muntah.
Empat sahabat itu ditemui tidak sedarkan diri dalam kereta tersebut dengan keadaan enjin masih hidup oleh bapa Ayuni Shazwani Shabri kira-kira jam 12.30 tengah malam pada 17 September lalu.
Dalam kejadian itu, Sharifah Fariesha Syed Fathi, Ayuni Shazwanie dan Nor Adilah Mohd Safwan meninggal dunia, manakala Nor Aqilah kritikal selepas kesemuanya yang berusia 21 tahun itu ditemui tidak sedarkan diri.
Nor Adilah yang merupakan kembar kepada Nor Aqilah pada awalnya terselamat namun meninggal dunia ketika dirawat di unit rawatan rapi (ICU) Hospital Angkatan Tentera Lumut, Perak pada jam 4.23 petang Khamis lalu.
Al-fatihah buat ketiga-tiga mangsa yang telah pergi dahulu. Semoga rohnya bersama orang-orang beriman. Aaminn..