Niat Murni Ustz Ebit Lew Terhenti, Pihak UPSI Tuntut Permohonan Maaf Darinya, Terpaksa Tangguh 20 Bas Bawa Pulang Pelajar
Isu pelajar-pelajar Institut Pengajian Tinggi yang terkandas selepas perintah penangguhan kemasukan ke kampus menjadi isu hangat sejak semalam.
Pelbagai respon yang ditunjukkan netizen, malah ramai yang bersimpati dan terus menawarkan pelbagai bentuk bantuan kecemasan kepada mereka seperti wang saku, tumpang menetap di rumah, tolong hantarkan pulang ke rumah dan sebagainya.
Malah pelbagai agensi seperti Pertubuhan Rejuvenasi Pendidikan yang diwakili bekas Menteri Pendidikan, Dr. Maszlee Malik turut melancarkan kutipan sumbangan kecemasan buat pelajar terbabit. Dalam masa sama, Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) hari ini mengumumkan bantuan zakat kecemasan bagi pelajar-pelajar terkandas tersebut akan digerakkan.
Tidak kurang juga, ‘hero jalanan’ negara kita, Ustaz Ebit Lew yang sememangnya amat aktif dalam memberikan bantuan kecemasan ke serata masyarakat turut menjalankan baktinya semalam.
Difahamkan Ustaz Ebit Lew menyalurkan bantuan dengan menyewakan bas khas untuk menghantar pulang pelajar-pelajar itu ke kampung halaman masing-masing.
Namun, niat murninya itu terhenti seketika apabila menerima teguran daripada Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) UPSI. Dalam kenyataan yang dikeluarkan itu mengatakan Ustaz Ebit Lew perlu mematuhi segala proses penghantaran pulang pelajar dengan mengikuti Prosedur Operasi Standard (SOP) dan perlu mendapatkan kebenaran daripada pihak pengurusan Universiti.
Ustaz Ebit Lew juga mendedahkan beliau digesa membuat permohonan maaf secara terbuka.
Memetik di facebooknya, beliau berkata;
“Saya mohon maaf pada pihak pentadbiran upsi terutama vice cancelor sendiri yang menghubungi pihak saya tadi supaya saya membuat permohonan maaf terbuka. Saya minta maaf pada semua adik pelajar universiti lain juga. Saya tengok pelajar macam anak-anak saya sendiri. Saya terpaksa tangguhkan 20 bas. Asal saya niat buat semua ini untuk pelajar berdasarkan keluhan saya tanggung dan dengari. Sebab dulu saya berhari-hari lapar tu biasa. Saya memang jarang balik kampung sebab tiada duit. Selalu tidur masjid jer dulu. Makan pun tumpang dekat masjid.
Saya minta maaf saya salah. Saya cuma membantu. Ramai pelajar dah balik dan ada yang keluarga ambil. Saya cuma siapkan macam bas awam. Syukur bas yang bergerak pun dah sampai selamat. Biasa naik bas bayar tapi kali ini free dan lebih tersusun dan tak perlu nak ke bus stop dan naik train. Saya tangguhkan 20 bas sehingga di beri kelulusan, katanya.“
Terdahulu, Ebit Lew melahirkan rasa sedih dengan nasib pelajar yang menghantar mesej kepadanya memohon pertolongan.
“Sayu ramai pelajar mesej saya dari pelbagai universiti. Disebabkan keadaan semasa yang kelas ditukar semula kepada online. Ramai juga yang baru daftar. Sayu dan kasihan sangat pada mereka semua,” katanya.
Beliau menyediakan bas secara percuma kepada pelajar UPSI untuk pulang ke Pantai Timur dan beliau akan mengaturkan pula perjalanan pelajar dari UiTM, UTHM, dan banyak lagi.
“Merekalah pemimpin masa depan. Macam anak kita sendiri. Saya tolong sewakan bas bagi free untuk mereka. Banyak pelajar yang DM saya.
“Yelah keadaan semasa negara Covid-19 meningkat dan membimbangkan. Semoga Allah mudahkan dan selamatkan perjalanan adik-adik.
“Syukur dapat beri motivasi dan semangat pada pelajar dalam bas yang bergerak tadi. Teringat dulu masa susah di universiti,” katanya.
Tindakan drastik KPT menangguhkan pendaftaran secara fizikal/bersemuka bagi pelajar baharu dan lama untuk kemasukan ke kampus bulan ini mengundang kecaman bertalu-talu dalam kalangan pelajar malah ia menjadi ‘trending’ di Twitter dengan tanda pagar “Menteri KPT Sila Letak Jawatan”.
Ramai pelajar melahirkan rasa kecewa dengan keputusan itu kerana ada dalam kalangan mereka terpaksa mengeluar perbelanjaan ribuan ringgit untuk membeli kelengkapan, sewa rumah, pengangkutan sebelum masuk ke kampus.