no comments

Nasihat TMJ Kepada Kerajaan

Nasihat TMJ Kepada Kerajaan.jpg

Tunku Mahkota Johor, DYAM Brigadier Jeneral Tunku Ismail Sultan Ibrahim menasihati kerajaan supaya menyingkirkan beberapa menteri yang seringkali dijadikan bahan jenaka.

Menurutnya, tindakan itu perlu dibuat kerana Malaysia memerlukan menteri yang bijak berkhidmat untuk rakyat dan bukan menteri yang lebih mementingkan kepentingan peribadi berbanding kepentingan rakyat.

“Dengan rendah diri, saya ingin memberi nasihat untuk Kerajaan, langkah pertama dalam usaha menambah baik sistem adalah dengan mengeluarkan beberapa menteri yang dianggap sebagai bahan jenaka.

“Negara kita memerlukan menteri bijak yang boleh berkhidmat kepada rakyat, bukan berkhidmat untuk menampung poket mereka sendiri. Saya berdoa agar keadaan dan kesedaran politik di negara ini akan diperbaiki untuk manfaat rakyat.”, katanya di laman Facebook Johor Southern Tigers.

Namun, Baginda turut berkata sikapnya yang gemar berterus terang turut menimbulkan perasaan kurang senang sesetengah pihak yang berusaha untuk menutup mulutnya.

“Apabila saya menyuarakan pendapat, ia tidak bertujuan mencetuskan ketegangan dengan Kerajaan Persekutuan tetapi ia adalah dengan niat untuk bekerja bersama-sama menjadikan negara ini tempat yang lebih baik.

“Saya berjanji akan terus bersuara untuk rakyat dan bukannya mencetuskan ketegangan tetapi bekerja bersama-sama memperbaiki bahagian tertentu yang masih lemah kerana ia adalah tugas dan tanggungjawab sebagai Tunku Mahkota untuk berkhidmat kepada rakyat Johor,” ujarnya.

Baginda juga menegaskan tegurannya tidak mempunyai sentimen politik tapi hanyalah teguran seorang putera raja yang sayangkan rakyat.

“Saya bukan seorang ahli politik dan saya tidak perlukan sebarang undi. Saya hanya seorang putera yang sayangkan rakyat dan apa yang saya katakan atau lakukan, adalah untuk kesejahteraan mereka,” ujarnya lagi.

Baginda bertitah sedemikian di dalam satu posting Facebook yang bertajuk “POLITIK NEGARA, FAM DAN PERKARA MELIBATKAN BOLASEPAK”.

Selain dari nasihat tersebut Baginda turut memetik mengenai FAM dan juga perkara yang melibatkan bola sepak.

Reply