Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Abdul Rahman Dahlan berkata, tiada seorang pun daripada lima Perdana Menteri Malaysia yang memberikan perkhidmatan, bantuan, buah fikiran dan kerjasama yang lebih mantap melainkan Datuk Seri Najib Tun Razak.
Sambil menegaskan perkara itu adalah hakikat sebenar dan beliau mengatakan sedemikian bukan kerana ada agenda tertentu.
“Itu fakta, saya tidak kata perkara ini untuk tujuan tertentu, perkara itu sangat jelas kepada Sabah dan Sarawak dalam sokongan kepada Perdana Menteri.
“Inilah yang kami tunggu dan idam-idamkan berpuluh-puluh tahun sejak merdeka. Satu pendekatan terbaru perdana menteri untuk memberikan kuasa-kuasa autonomi yang berpatutan.
Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak berkata, lebih banyak kuasa pentadbiran membabitkan jabatan dan agensi persekutuan bakal diserahkan kepada kerajaan negeri di Sabah dan Sarawak dalam usaha merangsang pembangunan di kedua-dua negeri terbabit.
Najib berkata, inisiatif berkenaan juga mampu meningkatkan sistem penyampaian dan kualiti perkhidmatan kepada rakyat, sekali gus menangani masalah pertindihan kuasa yang sering berlaku sebelum ini hingga menyebabkan berlaku kelewatan projek pembangunan dilaksanakan.
Dalam pada itu, beliau menegaskan pertukaran Perdana Menteri bukan sahaja urusan rakyat di Semenanjung Malaysia bahkan ia perlu mengambil kira suara rakyat di Sabah dan Sarawak.
“Kita adalah tulang belakang kepada BN… jangan sekadar tukar Perdana Menteri kerana mereka fikir boleh tukar Perdana Menteri, pergi tanya rakan komponen, pergi tanya rakyat Sabah dan Sarawak.