no comments

‘Tak Masuk Akal, Najib Ingat Rakyat Malaysia Bodoh’ – Tun M

Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata beliau tidak percaya dengan dakwaan Datuk Seri Najib Razak bahawa beliau tidak tahu menahu mengenai wang 1MDB yang dimasukkan ke akaun peribadinya.

Tidak masuk akal jika Najib tidak mengetahui transaksi berkaitan 1MDB apabila tandatangannya ada pada dokumen tersebut, kata Tun M.

“Siapa yang mahu mempercayainya, ketika dia menandatanganinya?

“Setiap wang yang masuk dan keluar dari pinjaman pertama RM42 bilion, semua mempunyai tandatangannya.

“Sekiranya dia tidak tahu, ia mesti dia tidak tahu apa erti tandatangan,” kata Dr Mahathir.

Dr Mahathir berkata adalah tidak munasabah bagi seseorang untuk mengarahkan RM2 bilion dipindahkan ke dalam akaunnya dan pada masa sama enggan dimaklumkan mengenai transaksi itu.

“Ini tak boleh jadi. Kerana saya perlu tandatangan untuk menggunakan wang itu.

“Untuk menggunakan wang itu, saya perlu mengeluarkan cek. Najib selalu menganggap orang lain bodoh,” katanya.

Terdahulu, kira-kira AS$700 juta (RM2 bilion) didakwa disalahgunakan dari 1MDB ke akaun peribadi Najib.

Dalam laporan Reuters pada Rabu, Najib mendakwa lembaga pengarah 1MDB mempunyai tanggungjawab memberitahunya jika ada sebarang perkara yang salah.

Beliau dalam beberapa komennya mengenai skandal 1MDB berkata, tidak tahu jika beratus-ratus juta dolar yang bergerak melalui akaun peribadinya adalah daripada 1MDB dan sama ada wang daripada dana itu akhirnya dicuci untuk memperoleh aset secara global termasuk kapal layar, lukisan, permata dan hartanah mewah.

“Saya tiada kaitan dengan kapal layar, lukisan…Saya tidak pernah melihat lukisan itu.

“Saya tidak menyedari pembelian ini. Ia dilakukan tanpa pengetahuan saya. Saya tidak akan membenarkan dana 1MDB digunakan untuk mana-mana perkara ini.

“Saya sudah lama berkhidmat dalam kerajaan, saya tahu apa yang betul dan apa yang salah,” kata Najib.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Siasatan 1Malaysia Development Berhad (1MDB), Tan Sri Abu Talib Othman hari ini mengatakan beberapa siasatan yang dijalankan terhadap syarikat pelaburan strategik negara itu hampir selesai.

Beliau berkata, Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Seri Mohd Shukri Abdull dan bekas ketuanya, Tan Sri Abu Kassim Mohamed telah memberi taklimat mengenai penemuan terbaharu mereka.

“Mereka memberi taklimat kepada kami mengenai status siasatan mereka yang berterusan.

“Ia sedang berjalan dengan lancar dan siasatan kes hampir selesai, diserahkan ke Jabatan Peguam Negara untuk perhatian mereka,” katanya.

Reply