no comments

Memang Betul Najib Adalah ‘MO1’ – Menteri

Malaysia-Official-1-MO1-Najib-

Memang Betul Najib Adalah ‘MO1’ – Menteri

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Abdul Rahman Dahlan, mengakui ‘Malaysian Official 1‘ (MO1) yang dinamakan dalam saman sivil Jabatan Kehakiman (DOJ) Amerika Syarikat dan dikaitkan dengan skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB) merujuk kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Pengarah Komunikasi Strategik Barisan Nasional itu mengesahkan perkara itu dalam satu temu bual dengan British Broadcasting Corporation (BBC) baru-baru ini.

“Saya telah menyatakannya secara terbuka. Jelas sekali jika anda membaca dokumen-dokumen, ia adalah perdana menteri,”

BBC memetik beliau, dalam sebuah artikel yang bertajuk ‘Who is Malaysian Official 1? Case Closed‘ yang disiarkan di laman webnya, Khamis.

Ini merupakan kali kedua Abdul Rahman menamakan Najib sebagai MO1.

Awal Ogos, beliau berkata identiti di sebalik MO1 bukan sesuatu yang rahsia.

“Tidak ada misteri tentang Malaysian Official 1, hanya orang bodoh tidak tahu siapa orang itu,” katanya.

 

Sebelum ini, pemimpin Umno enggan menafikan atau menyetujui sama ada MO1 merujuk kepada Najib.

Pada 20 Julai, DoJ memfailkan saman untuk merampas aset bernilai AS$1 bilion (RM4 bilion) yang didakwa dicuri daripada 1MDB.

Dokumen 130 muka surat membutirkan hasil siasatannya turut menamakan beberapa individu, termasuk anak tiri Najib, Riza Aziz, yang didakwa menggunakan berjuta dolar daripada 1MDB bagi pengeluaran filem Hollywood “The Wolf of Wall Street”.

Dokumen tersebut bagaimanapun tidak menamakan Najib, tetapi menyebut MO1 sebanyak 36 kali, yang sering dikaitkan dengan Najib, walaupun disangkal beberapa pemimpin Umno.

Bulan lalu, Ahli Parlimen Langkawi, Datuk Nawawi Ahmad mencetuskan kemarahan selepas mendakwa MO1 atau “pegawai Malaysia pertama” yang disebut pihak berkuasa AS itu merujuk kepada Yang Di-Pertuan Agong. Beliau kemudian membuat permohonan maaf atas kenyataannya.

Pada 27 Ogos, lebih 2,000 orang yang kebanyakannya terdiri daripada pelajar berkumpul di Kuala Lumpur menuntut kerajaan menamakan identiti MO1 dan mengambil tindakan.

Mstar, FMT

Reply