Muhyiddin Hadir Mesyuarat MPT BERSATU. Sesuatu Yang Besar Bakal Berlaku Selepas Ini?
Setelah tamat tempoh kuarantin di rumahnya selama 14 hari nampaknya Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin tidak duduk diam dan terus masuk ke pejabatnya pada waktu siang.
Di sebelah malam hari ini 4.6.2020 pula, Presiden Bersatu itu hadir ke Rumah Kelab Persatuan Alumni Universiti Malaya, di Kuala Lumpur bagi mempengerusikan mesyuarat Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu malam ini.
Beliau tiba di kawasan berkenan pada pukul 8.24 malam. Turut kelihatan tiba di kawasan itu adalah Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu Mohd Redzuan Yusof.
Mesyuarat itu merupakan mesyuarat MPT pertama dihadiri oleh perdana menteri setelah beliau selesai menjalani kuarantin selama 14 hari yang berakhir semalam, susulan seorang pegawai yang hadir mesyuarat pascakabinet di pejabatnya disahkan positif Covid-19.
Mesyuarat itu juga adalah yang pertama selepas Pengerusi BERSATU, Tun Dr Mahathir Mohamad digugurkan keahlian parti bersama empat lagi pimpinan parti itu minggu lalu.
Empat pemimpin itu adalah adalah bekas Timbalan Presiden BERSATU, Datuk Seri Mukhriz Mahathir; bekas Ketua Angkatan Bersatu Anak Muda (ARMADA), Syed Saddiq Syed Abdul Rahman; bekas Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT), Dr Maszlee Malik serta Ahli Parlimen Kubang Pasu, Datuk Amiruddin Hamzah.
Setakat ini, media dan pemerhati politik tidak dibenarkan masuk ke rumah persatuan itu.
Kawalan ketat polis dan anggota Jabatan Sukarelawan (RELA) di sepanjang laluan masuk ke rumah persatuan itu.
Beberapa penyokong Dr Mahathir dilihat turut berkumpul di perkarangan rumah persatuan itu.
Difahamkan mesyuarat itu tidak dihadiri Dr Mahathir dan empat lagi pemimpin yang digugurkan.
Namun, Setiausaha Politik Dr Mahathir yang juga ahli MPT, Datuk Abu Bakar Yahya dilihat memasuki rumah persatuan itu dipercayai menghadiri mesyuarat itu.
Ada pihak yang percaya mungkin sesuatu yang besar bakal berlaku selepas ini. Pada mesyuarat MPT BERSATU itu mungkin Perdana Menteri mahu menyampaikan perkara penting dan mustahak.
Perdana Menteri dijangka akan menyampaikan perutusan khas Pelan Pemulihan Ekonomi Jangka Pendek pada jumaat 5.6.2020 pada jam 3.00 petang. Perutusan itu sudah pasti menjadi tumpuan seluruh rakyat Malaysia ketika ini. Semoga ada sinar harapan untuk ekonomi Malaysia pulih sepenuhnya selepas ini.