Motor Kapchai Bakal Dihalang Masuk Pusat Bandar KL Kata Menteri
Motor Kapchai Bakal Dihalang Masuk Pusat Bandar KL Kata Menteri
Memandangkan pusat bandar Kuala Lumpur seringkali mengalami kesesakan lalu lintas yang teruk, ramai yang bekerja di pusat bandar memilih untuk menaiki motosikal kapchai sebagai kenderaan untuk ke tempat kerja.
Terbaru, hari ini keadaan traffik di KL mengalami kesesakan yang teruk di luar jangkaan akibat kemalangan dan hujan melanda awal pagi. Jadi, sesiapa yang menaiki motosikal seharusnya berasa lega dengan keadaan seperti ini.
Namun lain pula cerita yang terbaru diterima. Motosikal bersaiz kecil atau kapchai, mungkin bakal dihalang memasuki pusat bandar Kuala Lumpur sebagai langkah untuk mengurangkan pelepasan karbon, laporan The Star.
Menurut Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor, pihaknya melihat kaedah larangan ini sebagai usaha yang berbaloi memandangkan pengangkutan awam kini lebih banyak pilihan dan dengan harga yang berpatutan.
“Pada waktu siang, populasi (dalam bandar) meningkat antara lima dan tujuh juta memandangkan mereka memasuki pusat bandar untuk bekerja. Jika melihat kebanyakan pusat bandar lain, banyak yang menghalang kemasukan kapchai.
“Malah kajian turut menunjukkan kebanyakan orang masih memerlukannya kerana mereka daripada golongan miskin dan tidak mampu (untuk membeli kenderaan lain) kerana gaji yang rendah. Namun pengangkutan awam yang murah boleh didapati, dan kita akan mengkaji kemungkinan untuk tidak membenarkan motosikal kapchai memasuki pusat bandar,” ujarnya yang turut menambah kebanyakan motosikal jenis ini sering kali digunakan oleh peragut di pusat bandar.
Apakah pendapat anda mengenai perkara ini? Adakah langkah ini suatu yang relevan untuk dilaksanakan? Kongsikan pendapat anda bersama kami.