Mesyuarat Khas Kabinet Sepakat Darurat? PM Dijangka Menghadap Agong Jam 5 Petang Ini
Mesyuarat khas kabinet yang diadakan di Putrajaya bermula 9.30 pagi sehingga 12.30 tengah hari tadi dilaporkan sepakat untuk mengistiharkan darurat di Malaysia.
Selain menteri, mesyurat yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin itu turut dihadiri Panglima Angkatan Tentera, Affendi Buang, Peguam Negara, Idrus Harun dan Ketua Polis Negara, Abdul Hamid Bador.
Antara menteri yang menghadiri mesyuarat itu dipercayai termasuk Ismail Sabri Yaakob (Pertahanan), Hamzah Zainudin (Dalam Negeri), Radzi Md Jidin (Pendidikan), Wee Ka Siong (Pengangkutan), Rina Harun (Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat), Ronald Kiandee (Pertanian dan Industri Makanan) serta Reezal Merican Naina Merican (Belia dan Sukan).
Keputusan itu membolehkan sidang Parlimen yang dijadual pada 6 November ini digantung bagi membolehkan usaha menangani pandemik Covid-19 dilaksanakan sepenuhnya.
Langkah bersifat darurat ini diputuskan berikutan peningkatan mendadak kes baharu Covid-19 yang sehingga semalam masih melebih paras 800 kes, malah setiap hari ada sahaja kluster baharu dikenal pasti.
Perdana Menteri dikatakan bergegas ke Kuantan bagi menghadap Yang di-Pertuan Agong pukul 5 petang ini berhubung keputusan Kabinet itu.
Menurut sumber, selaras dengan fungsi Perdana Menteri sebagai penasihat Agong, Muhyiddin perlu mendapatkan nasihat dan persetujuan baginda untuk melaksanakan keputusan tersebut.
Selepas mendapat perkenan dan dokumen ditandatangani oleh baginda, baharulah perdana menteri mengumumkan keputusan tersebut kepada rakyat dan dikhabarkan pukul 8 malam ini satu pengumuman yang berkaitan akan dibuat.
Beliau berkata, Muhyiddin juga perlu menjelaskan perkara tersebut kepada rakyat untuk mengelak sebarang kegelisahan mengenai keputusan terbaharu ini.
Pengisytiharan darurat ialah kuasa prerogatif Yang di-Pertuan Agong di bawah Perkara 150(1) yang memperuntukkan:
“Jika Yang di-Pertuan Agong berpuas hati bahawa suatu darurat besar sedang berlaku yang menyebabkan keselamatan, atau kehidupan ekonomi, atau ketenteraman awam di dalam Persekutuan atau mana-mana bahagiannya terancam, maka Yang di-Pertuan Agong boleh mengeluarkan suatu Proklamasi Darurat dengan membuat dalamnya suatu perisytiharan yang bermaksud sedemikian”.
Pengisytiharaan darurat dikatakan pilihan terbaik bagi kerajaan dalam menangani wabak Covid-19 ketika ini.
Namun, ia juga dianggap sebagai jalan bagi Muhyiddin untuk tidak membubarkan Parlimen bagi memberi laluan kepada pilihan raya diadakan, jika dia tidak mempunyai majoriti dari Dewan Rakyat.
Ini kerana Perlembagaan Persekutuan akan ditangguhkan, sekali gus mengenepikan keperluan untuk mengundi.
Apa itu pengisytiharan darurat?
Darurat bermaksud suatu keadaan berkaitan keselamatan, ekonomi dan ketenteraman awam yang tidak dapat dikawal melalui sistem pentadbiran biasa.
Pengisytiharan darurat adalah suatu pemasyhuran yang dibuat oleh Yang di-Pertuan Agong melalui suatu pewartaan bahawa keadaan tersebut telah wujud atau hampir berlaku.
Darurat boleh diisytiharkan semasa Parlimen sedang bersidang atau setelah dibubarkan dan ia tidak akan mengakibatkan Dewan digantung jika belum dibubarkan.
Namun, sekiranya Parlimen tidak bersidang atau dibubarkan, Yang di-Pertuan Agong boleh mengisytiharkan darurat. Kuasa perundangan akan dikembalikan ke Parlimen jika bersidang semasa darurat.
Keadaan darurat boleh diisytiharkan di seluruh negara atau di mana-mana kawasan Persekutuan.
Sekiranya darurat di seluruh negara diisytiharkan, tidak ada pilihan raya umum dalam tempoh 60 hari Parlimen dibubarkan.