no comments

“Tiba-tiba Dia Sebut Nak Tunai Umrah, Padahal Takda Perancangan Pun Sebelum Ni”

Lelaki berusia 56 tahun meninggal dunia selepas rentung dalam kebakaran di rumah di Taman Malek, Alor Setar hari ini. Dalam kejadian 5.30 pagi itu, jasad Roslan Abu Bakar ditemui di depan pintu dalam rumahnya.

Menurut bapa saudaranya, Abd Rahman; arwah masuk semula ke dalam rumah untuk mengambil kunci kereta dan cuba memadam api namun dia tidak sempat keluar dan terperangkap di pintu hadapan rumah tersebut.

Isteri arwah, Muzaini Mustafa yang berkerusi roda akibat masalah buah pinggang dan dua anak mereka, Mohamad Ridwan Roslan, 17, dan Siti Aisyah, 15, berjaya menyelamatkan diri keluar dari rumah.

Abd Rahman berkata, dia tidak sedap hati apabila terdengar bunyi siren bomba di hadapan rumahnya tidak jauh dari lokasi kejadian.

Katanya, dia tidak sedap hati kerana bimbang ada kejadian besar ketika penduduk di kawasan Kota Setar masih dalam perlaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) Secara Pentadbiran sejak Jumaat lalu disebabkan penularan Covid-19.

“Tidak lama kemudian isteri saya menangis memberitahu rumah Roslan (arwah) terbakar namun tidak tahu nasib yang menimpa.

“Sebaik sampai di sini, saya dapat tahu arwah gagal diselamatkan dan meninggal dunia dalam kebakaran itu,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian hari ini.

“Arwah yang sebelum ini ceria kelihatan pelik apabila tergesa-gesa nak balik rumahnya. Dia ada beritahu niatnya untuk menunaikan umrah sekali lagi namun tidak sempat disebabkan masalah kesihatannya selain masalah Covid-19 sekarang ini.

“Mungkin dia tahu ajalnya akan tiba sebab itu tiba-tiba dia ada sebut nak menunaikan umrah kerana tidak ada perancangan sebelum ini,” katanya.

Katanya, jenazah akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam di Jalan Alor Ibus, Kuala-Kedah-Yan selepas selesai urusan di bilik mayat Hospital Sultanah Bahiyah (HSB).

Sementara itu, adik arwah, Rosliza Abu Bakar, berkata, kali terakhir dia bertemu arwah abangnya adalah Jumaat lalu sewaktu mangsa datang untuk menziarah ibu mereka di Kuala Kedah.

Katanya, ibu mereka sepatutnya menjalani pembedahan membuang selaput mata di sebuah pusat perubatan swasta di Alor Setar tetapi terpaksa ditunda kerana PKPD.

“Arwah datang dan tanya berhubung emak dan dia beri sumbangan sedikit untuk pembedahan itu tapi terpaksa ditunda kerana Covid-19.

“Dia langsung tak nampak sebarang perubahan malah dia kelihatan biasa saja ketika datang ke rumah dan tak sangka kejadian ini berlaku,” katanya.

“Sejak arwah bapa mereka meninggal, arwah lah bertanggungjawab menjaga keluarga terutama ibu mereka yang sudah uzur.”

“Kami sekeluarga reda dengan pemergiannya kerana dia seorang abang yang baik dan susah mahu cari macam dia,” katanya.

Arwah adalah kakitangan Syarikat Air Darulaman (SADA) di Alor Setar, Kedah.

Reply