“Malaysia Patut Hantar Rosmah Ke Kem Pelarian Rohingya”- GPM
Isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor telah dicadangkan oleh Global Peace Mission (GPM) Malaysia untuk mencontohi wanita pertama Turki Emine Erdorgan yang menjejakkan kakinya ke Myanmar bagi melawat kem pelarian Rohingya.
Ketua Pegawai Eksekutif GPM Malaysia, Ahmad Fahmi Mohd Samsudin berkata langkah itu perlu bagi kepimpinan negara ini melihat sendiri konflik di wilayah Rakhine, Myanmar itu.
“Tidak cukup sekadar perdana menteri menyuarakan bantahan dan menyebut ucapan beliau dalam beberapa siri bantahan itu sendiri
“Tetapi paling tidak seperti mana yang ditunjukkan oleh Turki sebagai contoh di mana hari ini kita lihat First Lady Turki berada di Bangladesh.
“Maksudnya kita bukan sahaja bercakap tetapi kita buat. Sebab itu Malaysia kalau boleh hantar isteri perdana menteri, Datin Seri Rosmah pergi tengok sendiri ke Myanmar, ke kem pelarian itu sendiri,” kata Ahmad Fahmi dalam sidang media di ibu pejabat Angkatan Belia Malaysia (ABIM), Kuala Lumpur, hari ini.
Krisis yang melanda etnik minoriti Islam Rohingya semakin parah apabila setiap hari dilaporkan ribuan mereka dibunuh dengan kejam oleh kerajaan Myanmar di negeri barat Rakhine.
Pemimpinnya, Aung San Suu Kyi terus mengambil pendekatan berdiam diri, terhadap konflik yang semakin memuncak itu sehingga menyaksikan hampir 90,000 penduduk Rohingya melarikan diri ke sempadan Bangladesh.
Meskipun Bangladesh adalah satu-satunya negara yang berkongsi sempadan dengan Myanmar, namun negara itu juga tidak mampu menerima kemasukan puluhan ribu pelarian Rohingya dan terpaksa mengusir sebahagian daripada mereka.
Presiden Turki, Recep Tayyip Erdogan bagaimanapun mengambil inisiatif dengan menawarkan pembiayaan kewangan kepada kerajaan Bangladesh bagi menampung kemasukan pelarian Rohingya, dengan syarat sempadan negara itu dibuka kepada etnik minoriti berkenaan.
Malah, media antarabangsa melaporkan Emine Erdorgan kini berada di Bangladesh bagi menyampaikan misi bantuan kemanusian.
Mengulas lanjut, Ahmad Fahmi berkata langkah yang diambi Emine itu sangat baik dan Malaysia perlu mencontohinya.
“Ini memang contoh yang terbaik, maksudnya kita tunjukkan melalui tauladan, kita nyatakan bantahan kita dan kita hantar kepimpinan kita dan salurkan bantuan sepertimana yang Turki buat.
“Hantar juga (Menteri Luar) Datuk Seri Anifah Aman ke sana,” katanya.
– Malaysiakini