no comments

Mahkamah Tolak Permohonan Reman Polis Terhadap Siti Kassim

Mahkamah Majistret Kajang menolak permohonan polis bagi mendapat perintah reman terhadap peguam dan aktivis, Siti Zabedah Kassim atau ‘Siti Kassim’.

Pendaftar, Sharifah Fadzilah Zolkifli menjalankan kuasa majistret dan menolak reman dalam prosiding.

Susulan keputusan itu, Siti yang ditahan di Ibu Pejabat Polis Kajang awal pagi hari ini dijangka dibebaskan dalam masa terdekat.

Peguam yang mewakili Siti Kasim, Datuk Ambiga Sreenevasan berkata, prosiding mengambil masa satu jam dan 15 minit.

“Kita anggap tiada asas oleh pihak polis untuk reman itu. Itulah sebabnya,” katanya yang mengetuai 12 peguam yang mewakili Siti Kasim.

Pada awalnya, polis memohon reman terhadap Siti Kasim selama empat hari.

Pada pagi Ahad, Siti Kasim dibawa ke Mahkamah Majistret Kajang dalam pakaian lokap dengan tangan bergari dan diiringi lima anggota polis.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor. Senior Asisten Komisioner Fadzil Ahmat berkata, peguam itu ditahan di Ibu Pejabat Polis Daerah Kajang pada pukul 12.40 malam susulan laporan polis dibuat seorang wanita yang mendakwa anak perempuannya berusia 24 tahun dilarikan oleh Siti Kassim pada Khamis lepas.

Siti Kassim dikatakan melarikan anaknya ketika sedang menjalani pemeriksaan psikiatri oleh doktor di Hospital Kajang.

Menurutnya, hasil maklumat, pihaknya berjaya mengesan mangsa berada di sebuah kondominium di Segambut.

“Serbuan dijalankan semalam dan ketika mangsa cuba diselamatkan, mangsa enggan memberikan kerjasama dengan bertindak mengunci diri di dalam rumah sebelum polis terpaksa memecah masuk bagi memastikan mangsa tidak mencederakan dirinya sendiri dan juga orang lain.

“Mangsa kemudian berjaya diselamatkan kira-kira jam 9 malam,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau berkata, mangsa seterusnya telah dihantar ke hospital semula untuk menjalani prosedur pemeriksaan yg tertangguh sebelum ini dan juga untuk pihak pihak pegawai penyiasat mendapatkan keputusan doktor.

Katanya, beliau turut mengesahkan terdapat laporan polis yang dibuat oleh anggota polis yang mengiring mangsa tersebut mengenai kekecohan yang berlaku di wad pemeriksaan ketika Siti Kassim menyerbu masuk walaupun cuba dihalang oleh pengawal keselamatan.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Ahmad Dzaffir Mohd Yusoff, turut menyangkal dakwaan bahawa pihaknya tidak mempunyai kuasa untuk menahan Siti Kassim serta anak guamnya seperti didakwa menerusi video berdurasi tiga minit dimuat naik di media sosial yang viral sejak awal pagi tadi.

Tindakan dilakukan pihak polis dibuat mengikut undang-undang diperuntukkan di bawah Kanun Keseksaan Akta 574 dan Kanun Prosedur Jenayah Akta 593.

“Pihak polis ingin menegaskan bahawa segala tindakan yang diambil mengikut peruntukan undang-undang sedia ada iaitu di bawah Kanun Keseksaan Akta 574 dan Kanun Prosedur Jenayah Akta 593. Justeru, kami menyangkal dakwaan dibuat pihak berkenaan seperti dinyatakan dalam video berkenaan.

“Kes itu disiasat mengikut Seksyen 363 dan Seksyen 186 Kanun Keseksaan kerana dakwaan culik dan mengganggu penjawat awam menjalankan tugas yang juga kesalahan lazim ditangkap,” katanya.

Reply