no comments

Mahkamah Dah Bagi ‘Green Light’ Jual Kapal Equanimity

Permohonan Kerajaan Malaysia, 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan dua subsidiari untuk menjual kapal mewah Equanimity telah telah dibenarkan oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini.

Peguam plaintif, Ong Chee Kwan, memaklumkan perkara itu kepada pemberita selepas bertemu Pesuruhjaya Kehakiman Khadijah Idris berhubung perkara itu.

“Mahkamah membenarkan permohonan untuk menjual (Equanimity) sementara dalam perbicaraan, yang bererti anda dapat arahan untuk menjual kapal layar itu sementara menunggu keputusan pemilikan aset itu.

“Langkah kami seterusnya adalah untuk memastikan kapal layar itu dijual secepat mungkin,” katanya kepada pemberita di pekarangan mahkamah.

Tiada perwakilan daripada Equanimity atau ahli perniagaan Jho Low hadir di mahkamah.

Jelas Ong, notis untuk penjualan segera itu telah diberikan kepada pemilik berdaftar Equanimity (Cayman) Ltd pada Rabu lalu. Syarikat berkenaan sebelum ini menafikan menerima notis itu.

Tambah Ong, sehingga kini, tiada pihak yang memfailkan penampilan kepada kes itu dan tempoh 14 hari untuk Equanimity Ltd berbuat demikian sudah tamat.

Ketika dihubungi kemudian, Ong menjelaskan bahawa meskipun Equanimity tidak lagi boleh memfailkan penampilan terhadap kes itu, pihak lain yang berminat seperti Low sendiri boleh berbuat demikian.

Sementara itu, peguam Jeremy M Joseph, yang juga mewakili 1MDB dan kerajaan, memberitahu pemberita bahawa langkah seterusnya adalah untuk mendapatkan pakar bagi menilai harga kapal layar itu dan broker untuk menjualnya.

Ong turut berkata, plaintif akan memohon penghakiman ingkar memandangkan tiada pihak lain yang menuntut kapal layar berkenaan di mahkamah Kuala Lumpur.

Sementara itu, Jho Low menyifatkan prosiding perundangan bagi menjual kapal mewah, Equanimity sebagai tidak berasas. Jho Low melalui jurucakapnya dalam satu kenyataan turut menyelar tindakan kerajaan Malaysia yang mahu mempercepatkan penjualan kapal mewah tersebut.

Menurut jurucakap itu, isu berkaitan dengan pemilikan aset boleh dikendalikan menerusi prosiding di Amerika Syarikat yang telah berjalan selama lebih setahun.

“Ini adalah satu lagi bukti bahawa rejim Mahathir yang korup tidak berminat untuk mengikuti apa-apa cara proses undang-undang yang adil dan adil.

“Pendengaran prosiding ini adalah tidak berasas dan sebahagian daripada proses undang-undang yang tidak adil dan sewenang-wenang tertakluk kepada kehendak rejim yang tidak dapat dipertikaikan mengenai aset yang masih belum ditentukan,” Jho Low berkata melalui kenyataan itu.

Selain itu kenyataan itu turut mendakwa, kerajaan AS sanggup menanggung kos pemulihan Equanimity sementara prosiding perundangan di negara itu tertangguh.

“Sebaliknya, secara terbuka, Dr Mahathir tidak perlu meletakkan beban kewangan ini kepada kerajaan Malaysia dan, dengan cara yang menyalahi undang-undang di mana beliau mengambil aset itu, tidak mungkin terdapat tawaran yang hampir menyamai dengan nilai pasaran terbuka,” menurut kenyataan itu.

Terdahulu, Mahkamah Sesyen hari ini telah mengeluarkan waran tangkap terhadap Jho Low dan bapanya, Tan Sri (Larry) Low Hock Peng.

Mereka berdua dikehendaki pihak berkuasa bagi membantu siasatan berhubung tuduhan pengubahan wang haram berkaitan skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB)

Waran tangkap itu dikeluarkan selepas mahkamah membenarkan permohonan polis dan Pejabat Peguam Negara untuk mengeluarkan waran tangkap terhadap dua individu berkenaan, yang dipercayai sudah melarikan diri ke luar negara.

Menurut sumber, waran tangkap itu untuk membolehkan polis Malaysia mendapatkan kerjasama polis antarabangsa (INTERPOL) untuk mengeluarkan notis merah bagi menjejaki kedua-dua individu berkenaan.

Permohonan yang difailkan di Mahkamah Sesyen pagi tadi juga bagi membolehkan kerajaan memohon perintah ekstradisi terhadap Jho Low dan bapanya yang dipercayai bersembunyi di China atau Abu Dhabi.

Sementara itu, menurut laporan The Edge, Jho Low dipercayai dikenakan lapan tuduhan mengikut Seksyen 4 (1) (a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan, 2001 (Akta 613) kerana memindahkan wang tunai.

Menurut laporan itu, Hock Peng turut berdepan satu tuduhan memindahkan AS$56 juta (RM230 juta) kepada anaknya.

Keseluruhan jumlah dalam urus niaga terbabit dianggarkan sebanyak AS$261 juta (lebih RM1 bilion) untuk penerimaan wang dan AS$196 juta (kira-kira RM805 juta) untuk pemindahan wang tunai yang dilakukan melalui akaun berasingan di Bank BSI Singapura antara Disember 2013 dan Jun 2014.

Sebahagian besar wang itu digunakan untuk membeli kapal persiaran mewah Equanimity bernilai AS$250 juta (RM1 bilion).

Reply