no comments

Datuk Mahadzir Lokman Sempat Hantar Ucapan ‘Selamat Pagi’ Sebelum Meninggal Dunia

Bekas pengacara TV3, Datuk Mahadzir Lokman dilaporkan telah meninggal dunia di sebuah Hotel, Tanjung Aru, Kota Kinabalu pada awal pagi tadi.

Pesonaliti terkenal berusia 61 tahun itu dilaporkan datang ke Sabah Selasa lalu, atas urusan kerja bersama keluarga rakan baiknya dan beliau mendaftar masuk di bilik berasingan. Allahyarham Datuk Mahadzir Lokman sempat menghantar ucapan ‘selamat pagi’ kepada rakannya menerusi applikasi WhatsApp sebelum menghembuskan nafasnya yang terakhir.

Difahamkan, mangsa sempat makan malam bersama keluarga rakannya sebelum pulang ke bilik pada 10.40 malam tadi.

Asisten Komisioner Habibi Majinji berkata, kira-kira 5 pagi tadi, Allahyarham ada menghantar ucapan selamat pagi di ‘group’ WhatsApp yang turut disertai rakan baiknya.

“Pada 9.30 pagi tadi, kenalan rapatnya memanggil mangsa tetapi tiada jawapan sebelum meminta bantuan pihak hotel untuk membuka pintu bilik mangsa.

“Sebaik dibuka mangsa didapati tidak sedarkan diri dan kemudian disahkan meninggal dunia oleh doktor dari Hospital Queen Elizabeth 1 (QEH 1),” katanya ketika dihubungi.

Habibi berkata, siasatan di lokasi mendapati tiada unsur jenayah dan mangsa berkemungkinan mati disebabkan sakit dialaminya sebelum ini, namun siasatan lanjut masih dijalankan.

Adik kepada Allahyarham yang dikenali sebagai Ida memberitahu, Mahadzir ditemui terbaring di bilik sebuah hotel di bandar raya itu.

“Saya baru hendak berangkat ke Sabah dengan kakak saya, Prof Fakhariah untuk tengok abang. Apa yang dimaklumkan kepada saya, abang meninggal selepas solat Subuh.

“Ada orang jumpa abang terbaring dalam bilik hotel. Kebiasaannya abang akan turun sarapan pagi, tetapi pagi tadi dia tak turun dan ditemui terbaring dalam bilik.

“Saya tak boleh cakap apa-apa sekarang sebab tak tahu keadaan sebenar. Tunggu sehingga saya sampai di sana baru boleh saya bercerita lanjut,” katanya.

Pada September tahun lalu, Allahyarham pernah dirawat di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) di Kuala Lumpur kerana masalah buah pinggang dan paru-paru.

Sementara itu, adik beliau, Ida Lokman sedang menguruskan penerbangan ke Kota Kinabalu bagi urusan membawa pulang jenazah ke Kuala Lumpur.

Arwah memulakan kerjaya di TV3 pada 1984 sebagai penyampai berita bahasa Melayu dan Inggeris pertama stesen televisyen itu.

Beliau pernah diberi tanggungjawab menjadi perantara pertama rancangan Sekapur Sirih, Malaysia Hari Ini (MHI) dan Melodi terbitan stesen televisyen (TV) berkenaan.

Kebolehan Mahadzir bertutur dalam pelbagai bahasa termasuk Perancis, Sepanyol, Itali dan Portugis menyaksikan beliau sering diundang sebagai pengacara pelbagai acara bertaraf antarabangsa.

Mahadzir dianugerahkan Ordre Les Palmes Academiques oleh kerajaan Perancis pada 2006 atas usaha beliau mempromosi bahasa dan budaya Perancis.

Reply