no comments

“Maaf Ditolak! Saya Betul-Betul Marah & Kecewa.” – Watson Nyambek

“Maaf Ditolak! Saya Betul-Betul Marah & Kecewa.” – Watson Nyambek

Mendiang bapa dihina sebegitu rupa, hati Watson Nyambek belum terbuka untuk menerima permohonan maaf daripada TV3 dan Primeworks Studios Sdn Bhd.

Kata bekas pelari pecut Malaysia itu, dia amat marah dengan tindakan pengacara Sukan Tak Sentral itu mempersenda-sendakan nama bapanya.

“Hari ini saya tak terima permohonan maaf mereka. Mungkin suatu hari nanti jika saya sudah lebih tenang saya akan terima,” katanya kepada media di Miri, Sarawak, hari ini.

Menurut laporan Borneo Post, Watson mengadakan pertemuan dengan wakil TV3 serta Primework Studios hari ini.

Turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif Primeworks Studios, Datuk Ahmad Izham Omar dan Anggota Parlimen Sibuti, Ahmad Lai Bujang.

Dalam siaran siri Sukan Tak Sentral itu Sabtu lalu, pengacaranya Azizul Ammar Abu Hassan mempersenda nama mendiang bapa Watson dengan membunyikannya seperti suara kambing.

Bagaimanapun semua pihak yang terbabit sudah memohon maaf secara terbuka kepada Watson. Susulan itu juga, Primeworks Studios Sdn Bhd telah menghentikan siaran rancangan berkenaan dan menggantung khidmat pengacara Ammar dan enam kru penerbitan, tanpa tempoh dinyatakan, berkuat kuasa serta-merta.

Di sebalik perkembangan berkenaan bekas atlet kebangsaan itu tetap membuat laporan polis di Miri hari ini dan meminta pihak berkuasa menjalankan siasatan.

Kata Watson, buat masa ini dia tidak dapat memberi kenyataan lebih lanjut kerana terlalu marah dengan tindakan penghinaan yang dilakukan ke atas bapanya.

“Saya betul-betul marah dan kecewa, saya tak boleh terima ia dilakukan oleh hos rancangan berkenaan.

“Saya harap kejadian begini tak berlaku lagi pada masa depan supaya kita boleh hidup dengan aman di negara ini,” katanya.

Watson juga akan mempertimbangkan tindakan guaman untuk saman pihak terbabit.

Sementara itu The Star Online melaporkan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Sarawak, Datuk Dev Kumar, berkata polis akan memanggil untuk menyoal siasat pengacara Sukan Tak Sentral itu tidak lama lagi.

Katanya kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 504 Kanun Keseksaan, iaitu kesalahan sengaja menyebabkan aib dengan niat mengganggu keamanan.

Bapa Watson meninggal dunia kira-kira tiga tahun lalu.

MK

Reply

facebook KLIK PANGKAH 2 KALI UNTUK TUTUP Button Close