“Doakan Saya Sembuh, Kalau Tak, Doalah Saya Selamat ‘Pergi’ Dan Sedekahkah Al-Fatihah” – M Daud Kilau
Seniman, M Daud Kilau yang kini berusia 82 tahun, memohon doa pada semua buat dirinya selepas keadaan kesihatannya semakin terjejas akibat uzur sejak empat tahun lalu.
“Saya doakan semua, panjang umur dan murah rezeki, doakan juga Daud Kilau lekas baik. Kalau tak baik tidak apa, (tapi) kalau saya ‘pergi’, doakan selamat pergi dan sedekahkan al-Fatihah,” itu permintaannya.
Beliau yang menghidap kencing manis kini sudah tidak boleh berdiri lama, kebas kaki dan tangan serta pinggang juga sakit selain keadaan jantung yang tidak stabil serta kurang daya pendengaran.
“Sejak sakit saya tidak dapat penuhi jemputan persembahan, nak berjalan pun sudah tidak lalu sangat dan solat juga atas bangku.
“Saya sekarang banyak bergantung kepada ubat-ubatan tetapi tak mengapa saya serah diri kepada ALLAH yang memberikan penyakit dan yang menyembuhkan penyakit.
“Saya bergantung dengan ubat dan tiga bulan sekali akan ke Klinik Kesihatan Bagan Datuk untuk pemeriksaan kesihatan. Saya kini banyak menghabiskan masa dan sisa hidup mencari saham akhirat,” katanya.
Beliau berkata sedemikian dalam pertemuan ziarah Pengerusi Jawatankuasa Agama Islam dan Penerangan negeri, Mohd Akmal Kamarudin di rumahnya di Kampung Sungai Balai Baruh, Bagan Datuk, hari ini.
Pada lawatan itu, M Daud Kilau turut menerima bantuan awal daripada kerajaan negeri.
M Daud Kilau kini dijaga oleh isterinya, Datin Rohani Awang Ngah, 63, dan anak lelakinya. Penyanyi yang terkenal dengan lagu ‘Cek Mek Molek‘ itu turut mengakui rindu untuk bertemu dengan peminat.
“Saya sayang dan merindui peminat saya. Kalau kesihatan sudah baik, InsyaAllah akan memenuhi undangan dan bertemu mereka.
“Hari ini saya rasa seperti penyakit sudah hilang separuh kerana ramai yang datang melawat dan membawa rezeki. Saya bersyukur dan tidak dapat membalas budi baik itu,” katanya.
Sementara itu, Mohd Akmal berkata, kerajaan negeri melalui pihak berkaitan akan melihat bantuan yang bersesuaian untuk penyanyi veteran itu.
“Kita prihatin dengan keadaan kesihatan Datuk M Daud Kilau yang uzur ketika ini dan Baitulmal akan membuat pemeriksaan lanjut untuk melihat bentuk bantuan yang akan disalurkan nanti.
“Kunjungan kita hari ini tidak lain untuk melihat sendiri keadaan penyanyi lagenda ini sebagai tanda keprihatinan kerajaan negeri,” katanya.