no comments

Selepas Lombok, Sumbawa Pula Bergegar

Selepas menggegarkan kepulauan Lombok, gempa bumi sederhana berukuran 5.3 pada skala Richter pula kini dilaporkan berlaku di selatan Sumbawa, Indonesia pada 8.06 malam ini.

Menurut Jabatan Meteorologi Malaysia, jarak gempa bumi itu adalah 352km selatan Bima, Indonesia. Namun, tiada amaran tsunami dikeluarkan.

Sementara itu, ribut petir, hujan lebat dan angin kencang dijangka berlaku di Sabah iaitu di kawasan pedalaman (Kuala Penyu dan Beaufort), Pantai Barat (Papar, Penampang, Kota Kinabalu, Tuaran, Ranau dan Kota Belud), Tawau (Tawau, Kunak dan Lahad Datu), Sandakan (Telupid, Kinabatangan, Beluran dan Sandakan), Kudat dan Labuan sehingga 12 tengah malam, 7 Ogos.

Dalam kejadian semalam, sekurang-kurangnya mengorbankan 91 nyawa apabila gempa bumi berukuran 7.0 magnitud menggegarkan pulau percutian, Lombok dan Bali.

Jurucakap agensi pengurusan bencana, Sutopo Purwo Nugroho, berkata sebahagian besar yang terbunuh dicatatkan di bahagian utara pulau Lombok, iaitu berhampiran pusat gempa.

“Dua mangsa maut di pulau berhampiran, Bali,” kata Sutopo.

Beliau berkata, angka kematian dijangka terus meningkat selepas semua maklumat mengenai mangsa diperoleh pasukan penyelamat.

“Proses mengumpul dan mengemaskini data mangsa sentiasa berterusan dan usaha menyelamat masih diteruskan.”

Setakat ini, tiada rakyat asing dilaporkan menjadi mangsa insiden gempa bumi berkenaan. Sekurang-kurangnya 209 mangsa dilaporkan cedera akibat kejadian terbaru itu, katanya.

Reply