Lombok Bergegar Lagi! Dilanda Gempa Bumi Kuat 7.0 Magnitud
Gegaran di Lombok, Indonesia kembali berulang kira-kira jam 7.46 malam tadi selepas seminggu reda. Agensi Kaji Cuaca melaporkan gempa bumi berukuran 7.0 magnitud skala Richter menggegarkan pulau Lombok di Indonesia hari ini, yang mencetuskan amaran tsunami.
Menurut Pusat Kajian Geologi Amerika Syarikat (USGS), gempa bumi itu berlaku pada kedalaman 10 kilometer dan berpusat kira-kira lima kilometer dari Desaanyar, Pulau Lombok.
Terminal Lapangan Terbang Lombok bergoyang akibat gempa bumi berkenaan dan menyebabkan ratusan penumpang yang sedang menunggu pelepasan penerbangan panik.
Gegaran hampir seminit itu menyebabkan ada penumpang yang terjatuh ketika berpusu-pusu untuk keluar dari terminal.
Keadaan bertambah cemas apabila bekalan elektrik terputus menyebabkan bangunan terminal bergelap hampir satu minit. Selain itu ada juga penumpang yang trauma menjerit ketakutan berikutan sudah menempuh pengalaman sama sebelum ini.
Petugas lapangan terbang kemudian mengarahkan penumpang mengosongkan terminal dan berkumpul di landasan atas sebab keselamatan.
Keadaan bagaimanapun terkawal dan kembali tenang kira-kira 15 minit kemudian dan setakat ini belum ada sebarang kecederaan dilaporkan.
Gempa bumi yang melanda Lombok itu turut menyebabkan keadaan panik di kalangan penduduk kepulauan berkenaan apabila siren kecemasan dibunyikan.
Biarpun gegaran tidak terasa di pulau berkenaan, penduduk bimbang gempa bumi yang terjadi di Lombok itu akan mencetuskan gelombang tsunami yang dikhuatiri akan melanda Karimunjawa.
Pada 29 Julai lalu, seorang rakyat Malaysia, Siti Nur Ismawida, terkorban dalam kejadian gempa bumi kuat yang berlaku di Nusa Tenggara Barat dan Lombok.
Gempa bumi kuat berukuran 6.4 Skala Richter itu menggoncang wilayah Nusa Tenggara Barat dan Lombok jam 5.47 pagi menyebabkan penduduk kawasan itu dilaporkan bertempiaran meninggal kediaman dan bangunan.
Menurut kenyataan Badan Meteorologi, Klimatologi dan Geofisika Indonesia (BMKG) gempa tersebut terjadi pada 5.47 pagi dan berpusat 28 kilometer (KM) Barat Laut Lombok Timur dengan kedalaman gempa sekitar 10 km.