no comments

Legenda Tan Sri Jins Shamsuddin Meninggal Dunia

Legenda Tan Sri Jins Shamsuddin Meninggal Dunia

Seniman terakhir negara, Tan Sri Dr Jins Shamsuddin meninggal dunia pada usia 82 tahun pada petang rabu.

Menurut anaknya Putera Hang Jebat, pada mulanya Allahyarham mengadu sesak nafas ketika sedang menikmati makanan di rumah mereka di Hulu Klang.

Katanya, ayahnya itu kemudian dibawa ke klinik berdekatan iaitu Klinik Idzham di Taman Melawati oleh ibunya iaitu Puan Sri Halijah Abdullah dengan bantuan jiran untuk mendapatkan rawatan.

Tambahnya, apabila tiba di klinik berkenaan, keadaan Allahyarham menjadi lemah sehinggalah beliau menghembuskan nafas terkahir.

Ujar Jebat lagi, jenazah dibawa pulang ke rumah mereka malam ini (Rabu) untuk urusan seterusnya.

Kesihatan Jins, semakin merosot sejak beberapa tahun lalu akibat penyakit Alzheimer yang dihidapinya.

Jins atau nama sebenarnya Mohamed Jins Shamsuddin dilahirkan di Taiping, Perak pada 5 November 1935 dan mula berlakon selepas berjaya dalam uji bakat yang dilakukan oleh P. Ramlee.

Beliau memegang watak utama dalam filem Pancha Delima pada tahun 1957 dan menjadi ejen perisik dengan watak Jefri Zain dalam Gerak Kilat.

Filem lakonan dan arahannya iaitu Bukit Kepong antara karya yang turut mengangkat nama Allahyarham terutamanya dalam penghasilan filem berunsur sejarah.

Filem-filem yang menggunakan judul ‘Esok’ juga antara kelainan dalam pengarahan Jins iaitu Esok Untuk Siapa, Esok Masih Ada dan Tiada Esok Bagimu.

Dalam bidang politik, Allahyarham pernah diangkat sebagai Senator dan seterusnya menerima ijazah kehormat Sarjana Persuratan dari Univesiti Sains Malaysia pada tahun 1999 serta ijazah Doktor Falsafah (PhD) dari universiti yang sama pada 2010.

Pada tahun 2009, Allahyarham diberi pengiktirafan oleh kerajaan dengan menganugerahkan kepadanya Anugerah Seniman Negara.

Jenazah dikebumikan di Masjid Al-Ridhuan, Hulu Klang kira-kira pukul 11 pagi Khamis.

mStar Online

Reply