Langgar Lampu Merah Dengan Gaya Superman, Remaja Temui Ajal Selepas Rempuh Kereta
Seorang remaja lelaki telah meninggal dunia selepas motosikal yang ditungganginya melanggar lampu isyarat merah dan merempuh sebuah kereta di Lebuhraya Tun Dr. Lim Choong Eu berhampiran Astaka Seagate di Bayan Lepas, dekat sini, pada hari ini.
Ketua Polis Daerah Barat Daya, Supt Kamarul Rizal Jenal, melaporkan bahawa kejadian itu berlaku pada jam 4.30 pagi. Mangsa, yang dikenali sebagai Muhammad Akid Mat Rozi, berusia 18 tahun dan menggunakan motosikal Yamaha RXZ, telah kehilangan nyawanya di tempat kejadian akibat kecederaan yang teruk. Sementara itu, pemandu kereta, seorang remaja lelaki berusia 18 tahun, mengalami kecederaan pada tangan kirinya.
Beliau menyatakan bahawa hasil siasatan menunjukkan mangsa, yang datang dari arah Batu Maung, telah melanggar lampu isyarat merah sebelum bertembung dengan kereta yang sedang membuat pusingan ke kanan di lorong tersebut.
“Kemalangan ini berlaku ketika hujan dan pihak polis sedang mengkaji rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di kawasan tersebut serta mengumpulkan keterangan daripada saksi-saksi yang menyaksikan kemalangan itu untuk membantu dalam siasatan,” katanya dalam kenyataan pada hari ini.
Menurut Kamarul Rizal, m4yat mangsa telah dihantar ke Hospital Pulau Pinang untuk proses bedah siasat, dan kes ini sedang disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.
Video kemalangan tersebut turut menjadi viral di media sosial. Berdasarkan video yang berdurasi 16 saat itu, mangsa terlihat sedang menunggang motosikal dengan cara yang berbahaya, termasuk melakukan aksi ‘Superman’ dan berlumba dengan seorang rakannya.
VIDEO