no comments

Selepas Tragedi Korban 22 Pelajar Tahfiz, Ini Kata-Kata Tenang Dari Pengetua Pondok

“Budak-Budak Ni Masih Kecil.. Kita Anggap Mereka Mati Syahid”- Pengetua Pondok Tahfiz

Pengetua Pusat Tahfiz Darul Quran Iftifaqiyyah menganggap 22 pelajarnya yang maut selepas gagal melepaskan diri daripada sekolahnya yang terbakar awal pagi tadi sebagai syahid.

Muhammad Zahid Mahmod berkata demikian apabila ditemui pemberita di surau Iftifaqiyah, Keramat, di tempat kejadian.

Selepas kejadian yang berlaku kira-kira 5.30 pagi tadi, seramai 24 mangsa termasuk 2 guru pusat tahfiz ditemui rentung di tingkat atas pusat tahfiz berkenaan yang didiami 36 pelajar dan 6 guru. Kebanyakan pelajar berusia 13 hingga 17 tahun.

“Budak-budak yang masih kecil ini, kita anggap mereka mati syahid. Mereka sanggup tinggalkan ibu bapa, tinggalkan masakan air tangan bonda, adik beradik dan masa bermain tinggal di sini semata-mata untuk belajar agama.

“Mereka ini, insyaAllah, mati syahid,” katanya ringkas. Zahid bagaimanapun tidak mahu mengeluarkan sebarang kenyataan selepas dinasihati polis untuk mengelakkan percanggahan maklumat.

Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Tan Sri Noh Omar dilaporkan berkata sekolah berkenaan beroperasi tanpa kelulusan sijil perakuan siap dan pematuhan, dan pelan bangunan yang diterima bomba berbeza dengan reka bentuk sebenar sekolah itu.

Beliau menambah sekolah itu mungkin tidak akan dikenakan tindakan disebabkan penderitaan yang dialami mereka ketika ini.

FMT

 

Reply