no comments

KENAPA FILEM CINDERELLA HANYA DITAYANGKAN DI PAWAGAM?

KENAPA FILEM CINDERELLA HANYA DITAYANGKAN DI PAWAGAM.jpg

Pengarah Ahmad Idham Ahmad Nazri, telah mengambil keputusan untuk menayangkan filem arahan terbarunya, Cinderella, hanya di pawagam-pawagam bermula 19 Disember. Filem ini dibintangi Fizo Omar, Nelydia Senrose, Kamal Adli, Erin Malek dan ramai lagi. Filem terbitan Excellent Pictures ini ditayangkan di 60 pawagam seluruh Malaysia.

Ahmad Idham berkata, ianya merupakan satu langkah drastik yang perlu diambil bagi memastikan survival industri filem tempatan yang kini bergelumang dengan masalah cetak rompak.

“Saya perlu mengambil langkah pencegahan dan ini merupakan mekanisma yang diambil untuk melihat keberkesanan langkah pencegahan tersebut”, kata Ahmad Idham.

“Anda ingin tahu betapa serius masalah yang kami hadapi selaku penerbit? Sekarang ini pengeluar DVD asli sendiri tidak percaya dengan pasaran untuk DVD, akibat gejala cakera padat cetak rompak. Ini terbukti dengan mereka membeli hak milik pengeluaran DVD pada harga yang rendah iaitu sekitar RM20 hingga RM30 ribu sahaja. Ianya harga yang rendah dan tidak munasabah dengan apa yang kami usahakan. Yang jadi mangsa gejala cetak rompak adalah kami!”

“Tambahan lagi, saya cukup terkilan kerana industri cetak rompak mengaut keuntungan lebih besar, berbanding industri perfileman kita sendiri. Kerana itu kita harus mengambil langkah cukup drastik untuk membendung gejala ini.”

“Kebiasaannya, sesebuah filem yang sudah selesai ditayangkan di pawagam selepas dua atau tiga minggu, akan ditayangkan di platform lain seperti DVD mahupun siaran televisyen berbayar. Jadi mulai detik itu, penerbit filem mula berhadapan dengan masalah cetak rompak.”

“Baru sahaja sesebuah filem terkini dikeluarkan dalam bentuk DVD asli mahupun ditayangkan di saluran televisyen berbayar, pada sebelah paginya. Di sebelah malam, kita boleh dapati cakera padat cetak rompak filem berkenaan di pasaran. Hal ini, saya pernah alaminya sendiri ketika pergi ke pasar malam.”

“Itu belum lagi dengan muat naik tidak sah filem-filem di Youtube. Penerbit seperti kami pula perlu bertindak sendirian dalam menghalang kegiatan seperti ini, tambahan pula peraturan yang sedia ada agak lemah dalam mengekang masalah cetak rompak yang berlaku.” ujar Ahmad Idham.

Ahmad Idham juga ditanya adakah dengan tidak mengeluarkan DVD asli juga ditayang di televisyen dapat menghalang kegiatan cetak rompak, jawabnya, “Gejala cetak rompak merupakan masalah yang tiada berkesudahan. Sekurang-kurangnya kita mengambil langkah dalam membendung masalah yang berlaku dari berlarutan.”

Selain itu, untuk setiap salinan yang dihantar ke pawagam, kami meletakkan kod tertentu ketika tayangan, yang hanya boleh dilihat secara teliti. Maka, jika terdapat perkara yang tidak diinginkan, pihak kami dapat mengesan dari mana sumber tersebut.”

Ahmad Idham berkata, langkah yang diambil mungkin kurang popular tetapi ianya untuk kebaikan industri filem tempatan sendiri.

Dengan hanya menumpukan tayangan di pawagam dan tidak di platform lain, langkah ini juga dilihat mampu menarik semula penonton ke pawagam untuk menonton sesebuah filem.

Dengan kos sebanyak RM1.5 juta, Cinderella telah ditayangkan pada 19 Disember lalu.

Reply