Kawan ‘Makan’ Kawan, Rupanya Ajib Khianat Budak Setan? Letak Dadah Dalam Minuman Ala Sinetron
Berhubung laporan polis yang dibuat oleh pelakon ‘Lagenda Budak Setan’, Datuk Farid Kamil, mendakwa dikhianati rakan baiknya sendiri yang meletakkan dadah ke dalam minumannya. ‘Ajib’, pelakon filem KL Gangster, ditahan reman selama tiga hari bermula hari ini.
Ajib atau Sofi Jikan diberkas di Balai Polis Mutiara Damansara jam 11 malam semalam, ketika hadir untuk memberi keterangan berhubung laporan polis Farid Kamil itu dan didapati juga positif dadah jenis ganja selepas ujian air kencing secara rawak dijalankan terhadapnya.
Sofi Jikan yang memakai baju lokap berwarna jingga tiba di Kompleks Mahkamah Petaling Jaya jam 9.03 pagi tadi sebelum dibawa masuk ke bilik reman pada jam 11.25 pagi dan diiringi anggota polis keluar dari bilik reman 30 minit kemudian.
“Alhamdulillah syukur…pengalaman yang amat menarik,” katanya sebaik ditahan reman selama tiga hari bermula semalam untuk membantu siasatan selepas didapati positif dadah jenis ganja.
Sofi Jikan berkata, beliau rasa bahagia kerana mendapat ‘team’ (kumpulan) yang baik.
“Guys…Malaysia is wonderful (Kepada semua, Malaysia menakjubkan) ,” katanya ketika disoal pemberita sebelum dibawa pegawai penyiasat kes dan beberapa anggota polis.
Sofi Jikan kini disiasat mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan penjara maksimum dua tahun atau denda maksimum RM5,000 atau kedua-duanya serta perintah pengawasan sehingga tiga tahun.
Sementara itu, polis sudah mengenalpasti identiti dua lagi individu yang disyaki terbabit dalam penyalahgunaan dadah bersama Sofi Jikan.
Timbalan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik, Datuk Kang Chez Chiang berkata, pada masa ini dua lagi individu yang dinyatakan oleh Farid sudah menyatakan kesediaan untuk tampil membantu siasatan.
“Pada masa ini saya tidak dapat mendedahkan identiti dua lagi individu sehingga mereka tampil membantu siasatan.”
Terdahulu, Farid mendedahkan tiga rakan artisnya menjadi dalang di sebalik penahanan dirinya sebelum ini yang meletakkan dadah ke dalam minumannya.
Pada 16 Januari lalu, Farid Kamil didakwa di Mahkamah Majistret, atas empat pertuduhan iaitu dua tuduhan menyebabkan kecederaan, berkelakuan tidak senonoh dan mengganggu penjawat awam di Balai Polis Trafik Kota Damansara.
Manakala pada 25 Januari lalu, Farid Kamil mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret sama, atas pertuduhan mengambil dadah jenis jenis 11-nor-delta-9-tetrahydro cannabinol-9-carboxylic acid (THC).
Ketika Datuk Farid Kamil ditahan, Sofi Jikan antara ‘kawan’ yang beria-ria mempertahankannya.
Susulan itu, adik kepada Sofi Jikan iaitu Shaiful Jikan meminta mereka diberi ruang untuk menyelesaikan kes melibatkan pelakon watak antagonis berkenaan.
Shaiful juga turut meminta peminat abangnya agar mendoakan semuanya berjalan dengan baik.
“Maaf ya, bagi ruang kepada kami untuk selesaikan dahulu. Semoga semua urusan dipermudahkan dan baik-baik sahaja.”
–BHarian, Mstar