no comments

‘Kasihanilah Frontliner Kita Penat Sangat Dah’, Kalau Boleh Jangan Adakan Pilihan Raya Lagi

Sudah beberapa kali menyuarakan rasa bimbang, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sekali lagi mengingatkan agar pilihan raya tidak diadakan dalam tempoh Covid-19 yang sedang melanda negara ini.

Perkara itu diluahkan Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham menerusi sidang media pada Jumaat petang tadi.

“KKM mengambil maklum keperluan mengadakan pilihan raya mengikut ketentuan undang-undang, namun begitu memang kebimbangan KKM untuk mengadakannya pada masa ini.

“Syor KKM ialah, kalau boleh tidak diadakan pilihan raya. Bagaimanapun, kalau tidak boleh, terpaksa dilaksanakan, jadi kita kena lihat keadaan semasa,” kata Dr Noor Hisham.

Ujarnya, ada tiga prinsip yang perlu dipatuhi sekiranya pilihan raya perlu diadakan.

Antaranya, tiada pergerakan rentas daerah dan negeri, tiada perhimpunan iaitu berkempen beramai-ramai dan tiada kunjungan dari rumah ke rumah.

Paling penting katanya pematuhan prosedur operasi standard (SOP) dalam kalangan rakyat yang terlibat dengan aktiviti pilihan raya.

“Walaupun kita boleh adakan SOP, tapi kepatuhan tu penting. Kalau kita tak patuh, mungkin Covid-19 akan merebak,” katanya lagi.

Mengulas mengenai keupayaan para frontliner ketika ini, Noor Hisham berkata, jika dilihat memang ada isu kelesuan mental dan fizikal dalam kalangan petugas kesihatan di lapangan, malah di Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) juga mengalaminya kerana kini berperang berterusan tanpa henti sejak 10 bulan lalu tanpa cuti.

Menurutnya, setiap hari perlu ada mesyuarat dan tindakan dalam menjalankan tugas sehingga mungkin ada yang terkesan sehingga mengalami tekanan tinggi termasuk dirinya sendiri.

“Ketua Pengarah Kesihatan juga mengalami tekanan tinggi, kadangkala malam tidak boleh tidur sebab memikirkan pelbagai aktiviti bagaimana untuk menyelesaikan masalah ini.

“Setakat ini kita masih boleh bertahan dan pagi ini saya ada membuat sidang video dengan pakar di Sabah dan melihat kepada isu-isu serta permasalahan mereka,” katanya.

Beliau berkata demikian mengulas dakwaan ada dalam kalangan petugas kesihatan menghadapi tekanan mental sehingga ada yang terpaksa mengambil cuti akibat berperang dengan Covid-19.

Noor Hisham menjelaskan, Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 [Akta 342] telah dicadangkan untuk dipinda sejak awal penularan pandemik Covid-19 melanda negara bagi membolehkan lebih banyak punca kuasa diberikan kepada Kementerian Kesihatan.

Katanya, ini termasuk membolehkan kementerian menghalang pilihan raya diadakan termasuk perkara-perkara lain memandangkan akta berkenaan digubal 32 tahun lalu yang mana situasi penyakit berjangkit pada masa itu hanya melibatkan lokaliti tertentu.

“Perancangan pindaan ini telah dihantar kepada Peguam Negara dan kita berharap ia boleh dilaksanakan secepat mungkin. Ketika ini penyakit berjangkit Covid-19 ini sudah melanda seluruh negara malah dunia dan kita perlu menggubal akta ini bagi memperkukuhkannya untuk digunakan pada masa depan,” katanya.

Dalam perkembangan lain, UMNO malam tadi, menuntut supaya Pilihan Raya Umum (PRU) segerakan diadakan selepas pandemik COVID-19, dapat dikawal pada tahap minimum.

Dalam mengemukakan tuntutan itu, UMNO mendakwa langkah itu dapat memberi peluang kepada rakyat memberi mandat bagi mewujudkan kerajaan yang stabil.

Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, berkata UMNO adalah sebuah parti yang dasar-dasarnya sentiasa mengutamakan agenda rakyat.

“UMNO memutuskan agar mandat rakyat dikembalikan bagi mewujudkan kerajaan yang stabil dengan mengadakan PRU setelah pandemik COVID-19 dapat dikawal dan berada di peringkat minimum.

“UMNO adalah sebuah parti yang dasar-dasarnya sentiasa memberi keutamaan kepada agenda rakyat,” katanya menerusi satu kenyataan selepas mempengerusikan mesyuarat khas Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, malam tadi.

Reply