no comments

“Kalau Sos Cili Dan Kicap Tambah Pun Percuma, Habis Mana Untung Saya”- Pemilik Kedai Nasi Ayam

Menjejak realiti membina sebuah perniagaan kedai makan atau F&B , ramai yang kurang faham dengan kos-kos tersembunyi yang terlibat menyebabkan masyarakat mudah memberi komen atau ‘complain’ terlalu berkira dalam setiap menu yang dijual.

Ramai yang beranggapan, kita perlu bersedekah dalam perniagaan, memang benar sama sekali. Itulah yang membawa kepada keberkatan perniagaan yang menjadi penyebab rezeki perniagaan melimpah ruah.

Namun harus juga tidak dilupa, sesebuah perniagaan itu harus berpijak kepada realiti kos perniagaan yang perlu ditanggung, jika tidak kena pada kaedahnya, perniagaan boleh bungkus dan tidak mampu bertahan.

Jarang dikongsikan, Abang Dee Sanggup dedahkan rahsia kedai makannya kepada umum.

Perkongsian Abang Dee, pemilik kedai Deenasiayam telah membongkarkan realiti bagaimana sukarnya untuk mempertahankan sebuah perniagaan kedai nasi ayam beliau. Pendedahan beliau ini telah mendapat respon yang ramai dalam kalangan netizen di laman tiktok @deenasiayam, lebih 2000 komen di berikan kepada perkongsian beliau ini.

Ramai yang komplain, kenapa sos cili dan kicap tambah pun sampai nak caj Abang Dee.

Menurut Abang Dee, “sos cili dan kicap ini mesti dikenakan caj kerana ianya melibatkan kos bekas kecil. Abang Dee hanya caj RM1 sahaja untuk sos cili dan kicap tambah tersebut”.

“Untuk memuaskan hati semua pihak,disebabkan ramai yang minta sos cili lebih, Abang Dee mengasingkan sos cili dan kicap dan bekas yang berbeza. Sos cili 2 aun manakala kicap 1 aun”.

“Malah, bekas sos cili adalah lebih besar berbanding bekas kicap, kerana ramai yang inginkan sos cili ‘extra'”.

Abang Dee bongkarkan kos terlibat, bukan sekadar isu sos cili dan kicap sahaja.

Menurut Abang Dee, “untuk bertahan dalam bisnes restoran atau kedai makan, sudah semestinya ada kos, bayangkan begini, saya share ya, ini bukan nak tipu-tipu, kos sewa kedai ni, adalah RM7500, kos disebelah sana, sebab sana ada air cond, kosnya melibatkan RM3000 satu bulan, disebelah sini pula tiada air cond, saya buat ‘open air’.

Kos elektrik sahaja termasuk api dan air RM5000, bila dicampurkan dengan kos sewa termasuk bil tadi mencecah RM12,000 hingga RM13,000.

Staf saya disini, ada lebih kurang 20 orang, satu orang pekerja, gaji minimum mereka seorang ialah RM1500. Jadi bayangkan kalau ada 20 orang. Kos gaji sahaja sudah mencecah RM40,000″. Ujar Abang Dee, sambil tergelak.

Tambah Abang Dee lagi, “RM40,000 tambah dengan kos tadi RM12,000 dah jadi RM52,000, tuan puan hanya bayar saya RM1 sahaja untuk sos cili dan kicap extra ini, kena fahamlah saya. Itu yang pertama”.

Bukan semuanya Abang Dee caj, ada juga yang percuma, mungkin tiada dikedai lain.

Abang Dee meneruskan perkongsian, “Ini adalah sup kaki ayam, sup kaki ayam ini pun ada kosnya, harga kaki ayam ini, satu kilo RM4 lebih, dalam sup kaki ayam ini ada serbuk cili, ada paprika, haa saya kongsi resepi lagi, dia ada beberapa jenis bawang, ada rempah kurma, ada rempah cili. Paprika powder tu mahal tau, orang yang biasa buat western akan tahu kosnya, selain itu dekat sini ada gas, saya pun sudah lupa berapa kos tong gas sekarang” kata Abang Dee.

Kongsi Abang Dee, gas ini terpasang dari pukul 8.00 pagi hingga 6.00 petang, berapa jam tu gasnya keluar, setiap hari minimum 15 kilo kaki ayam, manakala Sabtu Ahad pula kita pakai 30 kilo kaki ayam. Jadinya kos untuk sup kaki ayam satu hari pula mencecah ratusan ringgit. Maksudnya dalam satu bulan sudah mencecah ribuan ringgit.

Berapa harga yang saya jual sup kaki ayam ini kepada customer saya?, Peerrrcuuumaaaa sahaja, ada yang percuma, ada juga yang kita caj. Saya kena caj untuk bungkus sos cili dan kicap itu, sebab ada tukang ‘packing’ saya kena bayar gaji mereka.

Kaki ayam, untuk nak potong kuku kaki ayam 13 kilo tu, ada orang yang saya bayar gaji mereka, dia bukan pakai niat tuan tuan, kalau kita pakai niat, dia tak terpotong sendiri” gurau Abang Dee.

“Bukan senang tuan-tuan, okay mai sini” Abang Dee kongsi satu persatu untuk tujuan berkongsi ilmu.

Ada lagi yang percuma Abang Dee berikan kepada pelanggannya.

“Tuan-tuan, kalau anda datang ke kedai saya, saya ada sediakan cili tambah, ini cili special skit, yang ini cili original, ini halia muda, dan ini pula kicap untuk nasi ayam. Kita ada sediakan air suam yang sentiasa refill, semua ini saya beli, saya bayar dan semua orang buat.”

“dan ini juga saya beri percuma sahaja kepada tuan-tuan, iya percuma sahaja, tapi disebabkan tuan tuan nak bawa balik, disitulah terdapatnya kos membungkus untuk dibawa pulang”

” Kalau dulu, iyalah kadang-kadang saya nak pejam mata je,tapi kadang mereka ni tak faham, beli nasi ayam hanya dua bungkus, tapi nak sos cili sampai lima, kalau tuan tuan berada di tempat saya macam mana perasaan tu?”.

“Jadi inilah rahsia-rahsia kedai makan yang semua kena tahu bahawa, untuk kos overhead maintain satu kedai ini sahaja sudah mencecah rm50,000 lebih.

Kos ini baru overhead sahaja, belum lagi kos bahan mentah.

“Berapa jualan yang saya nak kena capai, sudah semestinya ‘double’ sebab kos yang saya kongsi tadi baru sahaja overhead, belum lagi kos bahan mentah makanan, jadi dimana untung saya untuk diri sendiri, kenalah naikkan sales, tiada cara lain”. Tambah Abang Dee dengan nada lembut.

Begitulah realiti perniagaan kedai makan yang perlu ditanggung, diharapkan perkongsian Abang Dee, pemilik Deenasiayam ini dapat membuka mata anda semua bahawa bukan mudah untuk mempertahankan sesebuah restoran kedai makan. Ada yang perlu berlinang dengan air mata, ada boss yang sanggup tidak ambil gaji beberapa bulan, demi memastikan pekerja terus dapat di sara.

Kita doakanlah sama-sama supaya perniagaan Abang Dee ini, dipermudahkan, terus maju dan terus memberi manfaat kepada kita di media sosial.

Reply