no comments

“Kalau Anak Menangis Jangan Pujuk,Biarkan Sahaja”- Founder

Kita sebagai Mak Ayah ni memang tak cukup kuat kan bila tengok anak menangis. Ini biasa berlaku apabila kita pergi keluar bersama pergi jalan-jalan di pasar malam, pasar raya dan mana sahaja tempat yang ada barang yang diminati anak-anak.

Nampak sahaja dimatanya, bila anak merengek minta dibeli, kita buat tak layan, habislah dia menjerit satu mall nanti.

Apabila berlaku keadaan sebegitu rupa, Mak Ayah yang penyayang ini mesti akan menuruti cepat-cepat permintaan anak dan memujuk dengan pantas demi untuk tidak membiarkan anak menangis berlarutan. Kita hanya seolah-olah melayan sahaja kerenah anak-anak ini. Lama kelamaan anak mula naik lemak.

Cara yang kita buat ni salah..

Mak Ayah mana yang tidak sayang anak, tetapi kalau kita asyik sahaja melayan kerenahnya, ini bukan satu cara untuk membentuk disiplin dan adab anak-anak.

Kongsi Muhd Fhais Halim Pengasas kepada Uthman Academy dan Founder Khusyuk Parenting,

Biarkanlah anak menangis, lama kelamaan nanti dia akan faham bahawa tidak semua kemahuannya akan dituruti. Bukannya setiap masa tak boleh, tapi akan ada masa yang sesuai nanti.

Anak menangis, Biarkan & Jangan Biasakan.

Ketika anak kita masih bayi, menangis adalah satu kaedah komunikasinya dengan kita untuk memberitahu bahawa dia lapar, dahaga, sakit, mengantuk atau minta didukung. Itu adalah perkara normal.

Tambahan lagi, situasi ini adalah ‘benchmark’ komunikasi awal kanak-kanak semasa berusia 2 tahun ke bawah. Selain menangis, proses ini ialah peralihan cara komunikasi ke fasa seterusnya.

Semakin anak kita membesar, cara menangis bukan lagi kaedah untuk berkomunikasi sebaliknya, perbuatan itu sudah menjadi teknik untuk memanipulasi.

Dia menangis selalunya sebab nak mainan, nak gajet, ais krim dan apa sahaja perkara yang dia berkenan, dia akan gunakan cara manipulasi ini.

Ini sangat bahaya wahai Mak Ayah!, sekali kita turutkan kehendaknya dan kita layaninya berkali-kali, anak akan mula tahu paten kelemahan kita.

Maka bersedialah dengan ragam seterusnya yang mampu diulang berkali-kali sampai kita naik jelak dengan perangainya.

Oleh sebab itu, jika anak cuba buat teknik manipulasi ini, biarkan sahaja dia menangis.

Bertegaslah dengan anak-anak.

Seriuslah , nak biarkan sahaja anak menangis?

Asalkan tiada mudarat yang menimpa, dijauhi dari bahaya, walau matanya membengkak akibat menangis sekalipun, biarkan sahaja wahai mak ayah.

Bengkak menangis di mata senang nak hilang, tetapi sikap besar kepala agak sukar nak hilang bila sudah dididik dari awal. Mak Ayah kena kuat kan..

Sebagai Mak Ayah, mesti kena bertegas, kalau kita sudah kata ‘No Mean No’. Jangan berbolak balik dalam mengajar anak mengenai disiplin & adab pada anak-anak ya.

Itu sahaja cara untuk mendidik anak tentang ‘Frustration Tolerance’, bila sudah lama nanti, anak akan faham bahawa menangis bukanlah cara untuk mendapatkan apa yang dia mahu.

‘Frustration Tolerance’ ini akan banyak memberi manfaat kepada kemahiran-kemahiran lain seperti:

Self control

urus diri

berunding

bertolak ansur

disiplin

minta izin, tolong

menghormati orang

dan banyak lagi kemahiran penting yang boleh melatih anak-anak.

Makanya, buat ibu ayah semua, jangan cepat takut bila lihat anak menangis ya. Bertenang, anak sebenarnya sedang menguji kita samada lemah atau tegas. Itu sahaja!

Sekali sekala tu kita ikutkan kehendaknya sebagai ganjaran tiada masalah, tapi kalau dia jadikan umpan dengan cara menangis, jangan dilayan sangat ya. Ibu ayah juga yang susah nanti akan datang.

Penulis juga ingin berkongsi 10 Ayat Magik Yang Boleh Buat Anak Anda Bertenang.

  1. Jangan Cakap “SSSHHH.. DIAM”

Cubalah guna ayat: “Mama ada kat sini, mama kan sayang kamu,tak payah susah hati lagi ya”

2. Jangan Cakap “Kenapa Kamu Ni Asyik Nak Mengamuk aje tak tentu pasal”

Cubalah guna ayat: “Jom kita cuba kira 1 sampai 10 sama-sama. Lepastu kamu boleh beritahu Ayah apa yang berlaku”

3. Jangan Cakap, “Janganlah buat macam ni, depan orang ramai, malu kat orang”

Cubalah guna ayat: “Mari kita cuba cari tempat yang lebih tenang”

4. Jangan Cakap “Kenapa pukul adik tu, dia kan kecil lagi”

Cubalah guna ayat, “Kamu boleh menangis atau marah, tapi mama tak boleh biarkan kamu cederakan sesiapa ya”

5. Jangan Cakap “Kenapa baling mainan tu? kutip balik!”

Cubalah guna ayat “Kalau adik baling mainan, mama rasa adik tak suka bermain dengan ya lagi, betul tak macam tu?”

6. Jangan Cakap, “Kamu kan dah besar, jangan lah menangis lagi”.

Cubalah guna ayat “Ibu dan Ayah pun kadang-kadang rasa sedih dan marah, sabar ya, sekejap lagi kamu akan okay”

7. Jangan Cakap, “Kalau kamu tak berhenti menangis, ayah tak nak bawa kamu keluar jalan-jalan petang ni”

Cubalah guna ayat “Tak perlulah bersedih lagi, kita kan nak keluar jalan-jalan petang ni”

8. Jangan Cakap, “Sudah pergi mandi sekarang!”

Cubalah guna ayat. “Kamu nak bawa Panda ke mickey untuk bawa mandi”

9. Jangan Cakap, “Mama takkan layan kamu, sampailah kamu berhenti menangis”

Cubalah guna ayat, “Mama akan duduk di sini sampailah kamu bersedia nak peluk mama”

10. Jangan Cakap, Kamu ni memang keras kepala, menangislah puas-puas!”.

Cubalah guna ayat, “Nampaknya hari ini serba tak kena dengan kamu, penat ya? apa kata kita cuba tarik nafas sama-sama”.

Kredit untuk Nazurah Hassan.

Apa yang kita boleh pelajari dari sini, semua perkongsian ini tiada tujuan lain, adalah untuk mendidik anak kita supaya lebih berdisiplin dan adab demi kebaikan anak kita di masa akan datang. Masih belum terlambat untuk kita mula praktikkan kaedah ini.

Cubalah untuk kejayaan anak anak kita ya!

Reply