Jadilah Seperti Faizal
Sejak beralih daripada menjual nasi lemak kepada menghantar barang, atau “runner” sepenuh masa, setahun yang lalu, Ahmad Faizal Murtadza, 26, tetap dengan niat asalnya membantu mereka yang memerlukan.
Beberapa kali ditawarkan kontrak puluhan ribu ringgit menguruskan penghantaran barangan mereka, termasuk dari syarikat besar, Faizal memilih menolak tawaran mereka.
Beliau memberi khidmat dengan caranya sendiri kerana merasakan masih lagi mampu membantu orang ramai, selain menghargai peluang bertemu dan mendengar kisah kehidupan mereka.
Meskipun tidak menerima sebarang upah tetap dalam pekerjaannya, “runner” yang hanya mengenakan “upah seikhlas hati” itu tetap gembira dan berpuas hati dengan pendapatannya setiap hari, kerana dapat membantu mereka yang memerlukan.
Faizal kelihatan teruja dan gembira menceritakan pengalamannya menghantar pelbagai barangan, daripada bunga dan kek sebagai kejutan hari lahir, sehinggalah kepada makanan, termasuk juga binatang peliharaan menggunakan motorsikalnya, Honda Wave 125cc.
“Ada syarikat besar yang menawarkan saya kontrak untuk menjadi pihak pengurusan penghantaran produk mereka, siap dengan pejabat dan kerani.
“Mula-mula kelabu juga mata saya, tetapi selepas berbincang dengan ibu bapa dan keluarga, saya memilih menolak tawaran mereka.
“Syarikat itu kata, saya tidak perlu buat ‘runner’ sana sini, duduk sahaja, tapi tak ‘syok’. Saya minat berjumpa orang. Saya boleh motivasikan diri. Saya kena kerja keras,” katanya.
“Ayah saya mengingatkan saya tentang niat asal saya membantu mereka yang mahukan pertolongan dan perkhidmatan,” katanya kepada The Malaysian Insider di Shah Alam baru-baru ini.
Berpegang teguh kepada prinsip jujur dan amanah, Faizal turut menceritakan mengenai segelintir pelanggannya yang begitu percaya dan sanggup memberikan wang tunai kepadanya menyelesaikan urusan mereka, termasuk juga membayar cukai jalan kenderaan dan membayar bil utiliti yang tertunggak.
“Pernah pelanggan minta saya pergi ke Jepun untuk jual beli emas, dan China, ada juga minta saya pergi Singapura, tetapi saya tolak. Sebab jauh satu, kos lagi.
“Bila pegang amanah orang, kena buat elok-elok, tak boleh main-main. Kita perlu jujur. Kalau tidak, kita lingkup,” kata suami kepada Aqlema Ilias, 29, dan bapa kepada Aisyah, 9 bulan, itu sambil tersenyum.
Faizal yang menetap di Seksyen 20, Shah Alam, juga percaya prinsip itu menyebabkan dirinya hari ini tidak menang tangan menerima panggilan pelanggan yang mahukan khidmatnya.
“Saya sampai satu tahap diminta menjadi pengintip suami orang,” katanya, sambil ketawa.
Faizal berkata, perkhidmatannya tidak terhad dan meliputi apa sahaja yang diperlukan pelanggan.
“Saya pernah hantar sebentuk kunci dari Kuala Lumpur ke Perak, pukul 12 malam saya bergerak ke Perak, kemudian selepas hantar, saya balik semula ke Kuala Lumpur,” katanya, mengenang kembali kisah tersebut.
Bagi meyakinkan pelanggan, Faizal menggunakan perakam GoPro yang dipasang di dadanya untuk merakamkan gambar dan video yang menjadi bukti penghantaran.
“Saya tidak pernah buat tugas ‘runner’, sebab itu saya cuma caj seikhlas hati, kerana saya mahukan pengalaman.
“Saya tidak ada pengalaman, jadi mana boleh saya nak ‘demand’. Kalau saya caj RM100 untuk satu penghantaran, nanti pelanggan kata mahal sangat, lepas itu mereka tidak mahu lagi menggunakan khidmat saya.
“Lebih baik saya tidak letakkan harga, jadi nanti kalau mereka berpuas hati, mereka akan panggil saya lagi,” katanya.
Rezeki bukan hanya wang
Faizal berpegang kepada prinsip rezeki tidak datang hanya dalam bentuk wang ringgit semata-mata, sebaliknya dalam pelbagai cara.
“Ada orang yang hadiahkan saya botol susu bayi, pakaian bayi, untuk anak saya. Itu rezeki saya.
“Kadang-kala ada yang bayar upah RM1, ada juga bayar RM3, tidak bayar langsung pun ada. Tapi saya tidak mengeluh. Kalau saya bawa pulang RM10 sehari sekalipun saya berpuas hati,” katanya.
“Bila kita jujur, amanah, ia akan jadi virus, merebak, sampai ke hari ini. Saya buat setahun, memang sudah meletup sehingga ke tahap ini.”
Selain itu, Faizal juga seringkali diminta pelanggannya membelikan barangan keperluan harian untuk pesakit kanser, rumah orang tua dan juga rumah anak yatim.
Namun begitu, disebabkan perkhidmatannya yang tidak mengenal batasan, terdapat juga pelanggan yang memberikan tugasan yang remeh dan tidak masuk akal.
“Pernah ada seorang wanita ini, hubungi saya, dia kata kereta ayah dia rosak, dia minta saya datang tolong perbaiki. Tetapi kereta ayah dia rosak di Johor,” katanya, yang terpaksa menolak tawaran berkenaan.
Ketika wawancara itu juga, Faizal seringkali menyentuh soal amanah dan kejujuran dalam berurusan dengan wang ringgit.
“Ada sesetengah pelanggan yang meminta saya hantarkan makanan kepada ibunya yang sakit. Ada isteri yang baru kematian suami minta saya belikan lampin untuk anak-anaknya. Macam-macam kisah manusia yang saya temui,” katanya.
“Bila pegang duit orang, kalau ada baki saya akan pulangkan, termasuk syiling. Itu maknanya kita jujur. Jangan ambil duit orang, walaupun amaun sikit, sekali pun 50 sen. Itu bukan hak kita, itu hak orang,” kata Faizal, memberi ingatan.
Sebagai anak muda, Faizal turut berkata, graduan universiti dan mereka yang baru menamatkan pengajian perlu lebih kreatif dalam mencari peluang kerjaya mereka.
Malah, dirinya juga turut dipanggil memberi ceramah motivasi di institusi pengajian tinggi di Kedah bulan hadapan.
Faizal turut mengingatkan mengenai sikap manusia, ada yang suka memuji dan ada yang mencemuh.
Beliau sendiri pernah diperlekeh dan dianggap gila melakukan pekerjaan itu.
“Bila buat benda baik, akan ada orang pandang dari sudut negatif. Ada orang kritik saya bawa isteri ke Johor untuk teman saya hantar dokumen, sedangkan dia tengah sarat mengandung.
“Saya nak tunjukkan itulah pengorbanan seorang isteri, sanggup teman suaminya bekerja, bukan niat saya nak mengaibkan,” katanya.
Malah, dia pernah didatangi 4 syarikat penerbitan buku yang berhasrat untuk mendokumentasikan kisah hidupnya.