no comments

INILAH JAWAPAN BALAS BAITULMAL BERHUBUNG MAKCIK UZUR JALAN KAKI 500M NAK AMBIL BANTUAN

INILAH JAWAPAN BALAS BAITULMAL BERHUBUNG MAKCIK UZUR JALAN KAKI 500M NAK AMBIL BANTUAN.jpg

INILAH JAWAPAN BALAS BAITULMAL BERHUBUNG MAKCIK UZUR JALAN KAKI 500M NAK AMBIL BANTUAN

MAKLUMBALAS KEPADA “POST” DI DALAM FACEBOOK OLEH RABIATUN ASMAH MOHD ALI BERHUBUNG MAJLIS PENYAMPAIAN SUMBANGAN AIDILFITRI TAHUN 2015M/ 1436H OLEH YAB PERDANA MENTERI PADA 2 JULAI 2015

Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) terlebih dahulu memohon kemaafan di atas kesulitan dan kesukaran yang dialami oleh ibu puan pada Majlis Penyampaian Sumbangan Aidilfitri Tahun 2015M/ 1436H yang telah diadakan pada 2 Julai 2015 di MAEPS, Serdang.

Untuk makluman pihak puan, bagi memastikan kelancaran program, MAIWP telah membuat persiapan rapi dan sedaya upaya telah merancang beberapa tindakan untuk memastikan program berjalan lancar dan keselesaaan tetamu khususnya penerima bantuan diutamakan. Perkara-perkara seperti seperti menu makanan, ruang solat, parkir bas dan lain-lain perkara telah dibincangkan dengan teliti dan mendalam sebelum program diadakan.

Walaubagaimanapun, pada hari program tersebut, khalayak yang hadir melebihi daripada jumlah yang dijangkakan. MAIWP menjangkakan jumlah tetamu yang hadir adalah seramai 10,000 orang namun kehadiran pada hari program menjangkau 12,000 orang. Oleh itu, timbul beberapa masalah yang tidak dapat dielakkan dan MAIWP memohon maaf di atas masalah yang timbul.

Sebagai penjelasan, ingin dimaklumkan bahawa MAIWP telah memohon agar jemputan dapat hadir awal bagi mengurangkan masalah kesesakan. Oleh itu, MAIWP telah menyediakan juadah sahur. Bagi mengelakkan makanan yang disediakan basi atau rosak, MAIWP tidak menyediakan menu sayur tetapi telah disediakan dengan beberapa lauk lain seperti sambal bilis, tempe, kentang, ayam masak kicap, roti, tamar, anggur dan minuman. Semakan telah dibuat dengan kakitangan bertugas dan mengesahkan pembekal telah menyediakan menu seperti yang ditetapkan.

Berhubung parkir bas yang dikatakan agak jauh, MAIWP telah mengambilkira hal ini. Untuk makluman pihak tuan, pihak pengurusan MAEPS tidak membenarkan bas untuk masuk hampir ke dewan program iaitu di Dewan A bagi mengelakkan kesesakan dan telah menyediakan ruang parkir bas. Oleh itu, bagi memudahkan penerima bantuan yang hadir, sebanyak 14 buah “tram” telah disediakan untuk membawa jemputan daripada parkir bas ke lokasi program.

Mengambilkira jumlah jemputan yang ramai, satu dewan yang mampu memuatkan sehingga 1,000 orang jemaah pada satu-satu masa telah disediakan (bersebelahan dewan program) sebagai ruangan solat subuh. Dewan ini telah dipasang tambahan penghawa dingin serta disediakan juga ruang wudhuk tambahan bagi memastikan jemputan yang datang dapat solat subuh dengan selesa.

Cenderamata berbentuk barangan kain pelikat, kain batik dan tuala kecil merupakan cenderamata iringan yang diberikan sebagai tanda terima kasih kepada jemputan yang hadir. Begitu juga dengan wang tunai RM30 yang diberikan, ianya adalah sebagai saguhati kepada penerima bantuan yang hadir.

Manakala bagi bantuan Aidilfitri sebanyak RM500 seperti yang diumumkan oleh YAB Perdana Menteri, ia telah dimasukkan ke akaun bank penerima. Hal ini adalah bagi mengelakkan kejadian yang tidak diingini seperti kehilangan dan atas faktor keselamatan. Justeru, dipohon kerjasama pihak puan dapat mengemukakan maklumat nama penuh dan nombor kad pengenalan ibu puan untuk semakan status bayaran bantuan.

MAIWP telah berusaha memikirkan dan merancang yang terbaik untuk memudahkan dan memberi keselesaan kepada jemputan yang hadir terutamanya para penerima bantuan zakat Baitulmal MAIWP.

Untuk makluman puan, dalam menjemput penerima bantuan untuk hadir ke program ini, MAIWP tidak mewajibkan mereka untuk hadir. Ini kerana MAIWP menyedari terdapat di kalangan penerima bantuan yang merupakan golongan warga emas, Orang Kurang Upaya dan mempunyai komitmen lain seperti bekerja dan sebagainya. Namun kesudian mereka untuk hadir amat dialu-alukan sebagai tanda sokongan kepada MAIWP yang sentiasa berusaha memberikan yang terbaik dalam membantu dan menyantuni asnaf.

Walaubagaimanapun, MAIWP sekali lagi memohon maaf di atas kesulitan yang timbul. MAIWP juga mengucapkan terima kasih di atas maklumbalas yang diberikan oleh pihak puan. Teguran yang diberikan akan diberi perhatian sewajarnya oleh MAIWP untuk tujuan penambahbaikan dalam penganjuran program-program yang akan datang.

Sekian terima kasih.FB Baitulmal MAIWP

Reply