“Ikut Engkaulah Nak Jadi Apa”- NGO Dedah Sikap Buruk Si Penerima Bantuan
Ibarat diberi susu, tapi dibalas tuba, itulah persamaan yang boleh dimaksudkan tentang sikap sesetengah masyarakat yang suka meminta-minta. Tidak dinafikan, di negara kita ini terlalu banyak sekali pertubuhan kebajikan bukan kerajaan yang tampil untuk masyarakat yang memerlukan bantuan.
Usaha ini sedikit sebanyak dapat mengurangkan beban mereka yang memerlukan. Namun dalam lautan mereka yang memerlukan bantuan ini, timbul juga sisi buruk yang telah muncul dari sesetengah golongan ini. Perkongsian ini bulan untuk memburukkan mereka, cuma sekadar peringatan untuk kita berwaspada dan membantu mereka yang benar-benar memerlukan, dan bukanlah golongan yang suka menangguk di air keruh.
Satu perkongsian facebook telah dimuatkan oleh seorang pengurus Pertubuhan Kebajikan Danakita ,Cikgu Fadli Salleh telah berkongsi pengalaman beliau menguruskan program bantuan kebajikan.
Pendedahan Cikgu Fadli rata-rata telah menimbulkan kesedaran dan kemarahan orang ramai bagaimana sisi gelap yang jarang kita nampak dari seorang penerima bantuan.
Berikut adalah perkongsian Cikgu Fadli..
“Ramai pula terkesan dengan post tadi. Ramai yang minta aku bersabar dan marah-marah kat sasaran.
Sebenarnya hal seperti itu banyak kali dah aku hadap. Bahkan lebih teruk. Cuma aku tak cerita sahaja.
Malam ni aku cerita sedikitlah sisi buruk penerima bantuan dan mereka meminta bantuan ni. Aku bercerita dengan harapan tiada lagi sasaran akan berbuat perkara seperti ini.
Juga sebagai persiapan mental untuk mereka yang baru nak berkecipung dalam dunia sukarelawan.
Orang yang datang meminta bantuan ni, bukan semuanya jujur. Yang cuba ambil kesempatan pun ramai.
Pernah satu ketika, aku membantu satu keluarga. Datang betemu aku bawa surat berhenti kerja, kena halau dari rumah, cerita macam-macam kisah sedih.
Aku usahakan bantuan. Cari rumah sewa lain. Katil, dapur gas semua siap bagi. Peti sejuk yang orang sedekahkan pun bagi lagi.
Tak cukup dengan itu, kerja pun aku bantu carikan. Minta kawan aku ambil dia bekerja untuk membantunya.
Selepas dua bulan, tuan rumah sewa call aku. Sewa dah tertunggak. Bil api air tak pernah bayar. Kawan aku yang bagi kerja pun hubungi. Disiplin kerja teramat teruk. Datang lewat, selalu cuti tanpa maklum. Call tak angkat.
Aku bagi lagi peluang. Bantu bayar bil, bantu bayar sewa, pujuk kawan aku terima lagi dia bekerja. Slow talk dengan dia suruh kerja elok-elok.
Namun peluang kedua itu pun dia sia-siakan. Lepas itu aku berlepas tangan terus. Ikut dia lah nak jadi apa pun, aku malas nak layan dah.
Habis cara dah bantu, tapi tak nak bantu diri dia. Kes seumpamanya ini beberapa kali aku hadap.
Ada pula kes taik judi. Kemain tabur cerita sedih susu anak lah, pampers anak la, langsung tak makan lah. Disebabkan masa tu sibuk, aku transfer la rm50.
Tu dia, habis kat mesin judi. Laki bini kaki spin. Jeng!
Dan usah terkejut ya, ramai orang miskin dan tak mampu ni cukup suka berjudi. Aku tengok henpon mereka, aplikasi judi real money berlambak beb.
Patutlah hidup susah, taik judi.
Yang kes dadah pun ramai. Penagih dan terus menagih tak nak berubah. Puas bantu, puas nasihat, siap bawa AADK lagi bagi nasihat. Pun tak jalan. Lantakkan.
Ada yang kemain bawa anak kecil datang jumpa minta bantuan. Kita bantu sungguh-sungguh serba serbi. Siap minta pusat zakat bantu lagi.
Persatuan penduduk hubungi siap hantar gambar dan bukti. Dia sangat bermasalah kat blok kediaman tu.
Suka buat hal dan cari pasal. Bawa balik lelaki entah siapa-siapa. Buat urusan jual beli dadah kawasan blok dan sebagainya.
Yang datang bersungguh-sungguh minta bantu modalkan berniaga. Cakap pasti akan buat sungguh-sungguh. Lepas habis beribu belikan dia alatan niaga, semua tu terperuk kat bucu dinding.
Bila ditanya bermacam-macam alasan diberi. Datang jengok 3-4 bulan lagi, semua alatan dah dijual murah-murah. Alasan nak bayar sewa rumah. Padahal kalau dia berniaga betul-betul, bukan setakat sewa rumah boleh bayar, bil astro pun mampu kot.
Macam-macam kisah dibelakang tabir sebenarnya yang aku dok hadap selalu. Cuma aku tak pernah tulis saja sebelum ini.
Ni alang-alang tulis, biarlah jadi pedoman buat kawan-kawan yang ingin terjun dalam bidang ini.
Semangat kena kental. Ada masa kena tegas sungguh. Ada masa kena tolak ansur. Dan ada masa kena tinggalkan mereka terus.
Jalan ini tidak mudah. Sentiasa ada cabaran dan rintangan. Terus kental dan bertahan. Kerana ujian yang hadir ini semuanya akan mematangkan”
Mohd Fadli Salleh,
Presiden NGO Dana Kita.
Perkongsian Cikgu Fadli ini dapat memberikan pengajaran kepada kita supaya lebih berhati-hati dalam menjalankan kerja yang mulia ini. Kerana terdapat dalam kalangan mereka yang suka mengambil kesempatan, dan sikap inilah yang membuatkan berasa sudah malas untuk membantu sebahagian golongan ini. Pihak NGO seperti Pertubuhan Kebajikan Danakita ini harus lebih teliti dalam memilih penerima bantuan.
Mungkin selepas ini, proses memberikan kelayakan perlu ditambah baik lagi atau ada beberapa peringkat tertentu atas dasar bukan ingin menyusahkan golongan yang benar-benar memerlukan, tetapi untuk memberi pengajaran kepada mereka yang suka mengambil kesempatan.