Hospital Sultanah Aminah TERBAKAR… 6 Terkorban
Hospital Sultanah Aminah TERBAKAR… 6 Terkorban
Hari ini, negara dikejutkan dengan tragedi kebakaran Hospital Sultanah Aminah (HSA), di Johor Bahru. Kejadian itu berlaku kira-kira jam 9 pagi di tingkat dua, wad Unit Rawatan Rapi (ICU) selatan Hospital Sultanah Aminah (HSA).
Enam disahkan terkorban dalam kebakaran di wad berkenaan. Mangsa yang korban terdiri daripada 4 wanita dan 2 lelaki, manakala seorang lagi terselamat.
Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Johor, Othman Abdullah yang dipetik agensi berita BERNAMA berkata, seramai 166 anggota bomba dan 10 jentera dikejarkan ke tempat kejadian, selepas menerima panggilan pada jam 8.56 pagi tadi.
“Di ICU itu ada 7 mangsa yang memang agak kritikal keadaannya yang difahamkan oleh doktor mereka terpaksa menggunakan bantuan pernafasan dalam keadaan normal, jadi pesakit-pesakit itu tidak boleh dipindahkan sekiranya tiada katil sekali,” katanya sambil menambah kebakaran tidak merebak ke tempat lain.
Kakitangan hospital terpaksa memindahkan pesakit dari wad lain di hospital itu ke luar bangunan.
Berdasarkan gambar dimuat naik ke laman media sosial, khemah-khemah turut didirikan di luar Jabatan Kecemasan dan Trauma.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, ACP Sulaiman Salleh berkata, semua mangsa korban dipercayai adalah pesakit.
Katanya, pihak berkuasa sedang menyiasat punca kebakaran dan siasatan awal menunjukkan ia mungkin berpunca daripada litar pintas.
GAMBAR & VIDEO KEBAKARAN ICU HOSPITAL SULTANAH AMINAH, JOHOR
“Ketika kejadian, 294 pesakit dan 193 kakitangan HSA dilapor berada di dalam bangunan sama.”
“Sementara itu daripada lapan kakitangan yang berada di wad berkenaan, tiga telah terhidu asap. Jadi kita hantar dua kakitangan berkenaan ke Hospital Sultan Ismail dan seorang lagi ditahan di sebuah wad di HSA,” kata Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Johor.
Pesakit lain telah dipindahkan sementara ke wad-wad di bangunan lain. Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah pula berkata pesakit yang terjejas sedang dalam proses dihantar ke hospital lain berdekatan Johor Bahru terutama Hospital Sultan Ismail.
Ini adalah kali kedua tragedi kebakaran melibatkan hospital, selepas bilik kawalan kuasa di Hospital Pakar KPJ Damai, Sabah, terbakar hampir 90% yang memaksa 28 pesakit dipindahkan, pada 11 Julai lalu. –FMT