no comments

‘Hilang Akal Punya Nepal!’

Seorang lelaki warga Nepal berusia 25 tahun telah ditahan pihak polis berhubung kes seorang bayi perempuan berusia 17 bulan yang dilarikan dari rumah keluarganya di Kampung Parit Lanjut, Mukim Sungai Terap, pagi tadi.

Lelaki terbabit ditahan oleh sepasukan polis dari Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Kontinjen Johor dan Polis Daerah Muar di sebuah rumah kongsi di Kampung Bukit Treh kira-kira jam 9 pagi tadi bersama-sama dengan sebuah telefon bimbit yang turut dilarikan dalam kes berkenaan.

Ketua Polis Daerah Muar, Asisten Komisioner Zaharudin Rasip berkata, hasil penahanan suspek dan soal siasat yang dilakukan kemudiannya membawa kepada penemuan bayi perempuan berkenaan.

“Hasil daripada soal siasat yang kita lakukan akhirnya membawa kepada penemuan mangsa iaitu bayi perempuan berkenaan di satu kawasan belukar berhampiran pencawang elektrik kira-kira satu kilometer daripada rumah keluarga mangsa kira-kira jam 3.45 petang.

“Mangsa yang dalam keadaan bersendirian kemudiannya diselamatkan oleh pihak polis dan kemudiannya dihantar ke Hospital Pakar Sultanah Fatimah (HPSF),” katanya dalam satu kenyataan kepada media di Muar, hari ini.

Beliau berkata, pihak polis juga masih melakukan siasatan menyeluruh terhadap kes terbabit.

Katanya, kes disiasat mengikut Sekyen 363 Kanun Keseksaan kerana menculik dan Sekyen 457 kanun yang sama kerana pecah masuk kediaman.

Sementara itu, suasana di Unit Kecemasan HPSF bertukar menjadi tenang apabila sanak saudara dan kenalan keluarga mangsa menarik nafas lega serta bersyukur dengan berita positif terbabit.

Keadaan Nur Aisyah dilaporkan stabil tetapi terpaksa memerlukan pemeriksaan daripada doktor berikutan terdapat kesan gigitan serangga.

Ibunya, Siti Noorfadilah berkata, dia tidak tahu apa motif lelaki terbabit yang membawa pergi anak bongsunya itu kerana beliau tidak pernah bergaduh, bermusuh atau berlaku perkara yang tidak baik dengan lain dan sehingga kini pun beliau tidak tahu untuk mengesyaki sesiapa kerana tidak mempunyai musuh.

Reply