no comments

Hikmah Disebalik Dugaan Motosikal Tɛrb4kar Perjalanan Ke Baitulmal, Kini Amran Sudah Dapat Bantuan..

Hasrat seorang lelaki Orang Asli yang dalam perjalanan untuk membuat permohonan bantuan daripada Baitulmal Johor terbantut, apabila motosikal yang ditunggang bersama dua anak lelakinya rosak, lalu tɛrbakar di laluan motosikal Plaza Tol Senai Isnin lalu.

Kisah sedih yang menimpa keluarga itu tular di media sosial sehingga mendapat perhatian Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YaPEIM).

Pengurus YaPEIM Johor, Tajul Ariffin Harun berkata, pihaknya hari ini turun padang ke Kampung Orang Asli Kuala Masai, bagi memberi sumbangan kepada Amran Ronggi, 29, dan keluarganya selepas mengetahui kejadian tersebut melalui media sosial.

“Sumbangan ini dalam bentuk barangan keperluan asas harian seperti minyak masak, beras, tepung, gula dan lain-lain,” katanya kepada pemberita.

Sementara itu Amran mengucapkan terima kasih dan tidak dapat menahan sebak terhadap keprihatinan YaPEIM memberikan sumbangan yang disifatkan sangat bermakna buatnya yang kesempitan hidup.

Amran yang bekerja sebagai nelayan berkata dia sudah lama tidak turun ke laut ekoran pandemik Covid-19 menyebabkan kehidupan mereka sekeluarga semakin terhimpit sehingga dia terpaksa memohon bantuan Baitulmal.

“Dua hari lepas saya bersama dua anak lelaki, Mohamad, 10, dan Sharul, 7, dalam perjalanan ke Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) Johor Bahru untuk buat pendaftaran surat beranak tiga daripada empat anak bagi memohon bantuan Baitumal.

“Dalam perjalanan, salah seorang anak beritahu kakinya terasa panas, saya kemudian berhenti memeriksa motosikal dan mendapati ia sedang tɛrbakar. Mujur anggota polis di sana membantu, tetapi motosikal dah terbakar sepenuhnya dan tidak boleh dibaiki. Hanya boleh dijual sebagai besi buruk sahaja,” katanya sebak.

Menurutnya, motosikal terpakai yang dibeli pada Ogos lalu adalah hasil duit kumpul kerjanya sebagai nelayan.

“Lebih setengah tahun saya mengumpul duit bagi membeli sebuah motosikal untuk memudahkan pergerakan kami sekeluarga. Selama ini saya bekerja turun ke laut menumpang sampan atau bot ahli keluarga lain, apabila dapat hasil, saya akan dapat upah.

“Upah saya sekitar RM30 bergantung kepada hasil laut harian. Saya perlu menyara keluarga dan mencari ikhtiar untuk teruskan kehidupan.

“Maafkan saya kerana saya tiada niat mahu susahkan sesiapa. Saya buta huruf. Nak tengok arah jalan pun saya tidak tahu, mana angin bawa, saya pergi, tau-tau sampai,” katanya.

Amran berkata niatnya mahu pergi ke Baitulmal Johor kerana mahu meminta bantuan susu bagi dua anaknya.

“Saya mahu pergi ke Baitulmal Johor bagi meminta susu untuk bayi dan anak ketiga saya berusia setahun, tetapi hajat saya tidak sampai kerana saya sudah jauh dari rumah malah motosikal juga rosak teruk sehingga tidak boleh digunakan lagi.

“Niat saya untuk ubah kehidupan keluarga saya, namun mungkin belum sampai rezekinya. Saya harus kembali dengan rutin harian turun ke laut dan mengumpul simpanan semula supaya pada masa sama anak-anak saya dapat makan,” katanya.

Reply