no comments

Graduan Ini Jadi Tauke Terung. Tak Sangka Hasilnya Menakjubkan

Nur Aisyah Zulkifli berkongsi hasil tanaman terung yang ditanam dikawasan tanah terbiar di kampungnya Bukit Temiang Seremban.

Enggan menyerah kalah atau hanya berserah pada takdir, begitulah tekad seorang graduan yang sanggup mengusahakan sebuah kawasan tanah terbiar yang akhirnya telah menjadi ladang sayur-sayuran yang membuahkan hasil.

Hasil usaha Nur Aisyah Zulkifli 25 yang menjadikan tanah terbiar bertukar menjadi sebuah kebun sayuran ternyata berbaloi dan memberikan pulangan yang memuaskan.

Aisyah menjalankan projek tanaman dua jenis terung, bayam brazil dan buah pisang. Beliau memulakan usaha itu kira-kira awal tahun yang lalu dalam sebuah kawasan 0.8 hektar di Kampung Bukit Temiang.

Beliau berkata, minatnya dalam bidang pertanian itu mula terdetik apabila didorong dan sokongan oleh bapanya sendiri Zulkifli Alimudin 55 yang mempunyai pengalaman dalam bidang pertanian sejak 30 tahun yang lalu.

“Minat saya dalam bidang pertanian sudah bermula sebaik sahaja menamatkan pengajian di Universiti Putra Malaysia (UPM), semasa itu baru bermula Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang pertama pada tahun lalu.

“Untuk memastikan masa lapang saya tidak disia-siakan, saya gunakan dengan sebaik mungkin dengan usaha yang bermanfaat, saya cuba memberanikan diri untuk terlibat secara langsung dalam bidang pertanian dan mengusahakan tanah terbiar melalui projek tanaman terung panjang dan juga terung bulat, selain itu saya menanam bayam brazil dan pisang berangan.

“Walaupun pada peringkat awal , saya agak ragu-ragu juga namun selepas lebih setahun mengusahakannya, projek ini akhirnya memberikan pulangan yang baik bila melihat sayuran dan buah-buahan mula mengeluarkan hasil yang menakjubkan. Ujarnya.

Beliau yang juga pegang Ijazah Mikrobiologi dari UPM itu berkongsi, hasil tanaman tersebut akan dipasarkan melalui peniaga di Pasar Besar Seremban dan juga dalam kalangan penduduk sekitar.

Beliau memaklumkan, hasil tanaman terung dibekalkan pada harga RM4 dan RM5 sekilogram (KG) dan bayam brazil pula sekitar RM12 sekilogram diikuti pisang pada harga RM3.50 sekilogram.

“Syukur alhamdulilah, hasil tanaman ini boleh mencecah 700 hingga 800 kg sebulan dan setakat ini produk tanaman saya tidak mengalami sebarang masalah dari segi pasaran kerana tanaman ini menggunakan baja organik, ianya turut mendapat sambutan daripada pelanggan sekitar, kongsi Aisyah lagi.

Nur Aiyah mengatakan, projek yang diusahakan itu telah mendapat perhatian kerajaan negeri apabila beliau telah diberi bantuan geran sebanyak RM10,000 pada bulan Ogos tahun lalu melalui program Insentif Siswazah Tani Negeri Sembilan (InsisTg)

Beliau yang merupakan anak sulung dari 3 beradik itu berkongsi, pihaknya juga turut mengadakan latihan dan bimbingan kepada peserta baharu yang mempunyai minat untuk menceburkan diri dalam bidang pertanian.

“Bengkel yang dianjurkan ini turut mendapat kerjasama Jabatan Pertanian Negeri Sembilan dan setakat ini, lebih dari 100 peserta telah mengikuti program ini”

Perkongsian Aisyah ini sangat menginspirasikan kita, sebagai anak muda, sekiranya kita masih lagi tidak mendapat peluang pekerjaan diluar sana, masa yang ada tidak dibazirkan begitu sahaja, perusahaan Aisyah ini menjadi bukti sesiapa sahaja boleh mendapatkan rezeki yang menakjubkan asalkan ada minat, dan usaha yang gigih untuk menghasilkan sesuatu sehingga berjaya.

Dalam soal ini, tidak semestinya semua daripada kita mesti menceburi bidang pertanian, tetapi mesej yang ingin disampaikan ialah, kita jangan bazirkan masa begitu sahaja, usahakan sesuatu samada perniagaan atau apa sahaja yang boleh memberikan manfaat ekonomi kepada kita.

Reply