Genap 44 Hari Sandra Pergi.. Penantian Ibu Sandra Berakhir Selepas Didatanginya Dalam Mimpi
44 hari selepas pemergiaannya, hasrat ibu kepada penyanyi Sandra Dianne iaitu Nur Syakinah Abdullah untuk bertemu arwah anaknya dalam mimpi akhirnya tercapai jua.
Menurutnya, itulah kali pertama dia didatangi mimpi tentang anaknya selepas lebih sebulan pemergian Allahyarham Sandra.
“Tepat 44 hari, akhirnya kakak (panggilan untuk Sandra) datang juga dalam mimpi mama… terima kasih nak, mama tak akan lupa ciuman yang mama berikan pada kakak dan pelukan tangan kakak memeluk erat badan mama.
“Sudah masa untuk berhenti meratapi pemergianmu”
“Ia seperti tanda daripada kamu memberitahu kamu baik-baik dan inilah masa untuk mama bergerak ke depan dan berhenti meratapi pemergianmu.
“Mama akan merindui kamu sepanjang hidup. Bersemadilah dengan tenang. Al-Fatihah,” katanya
Syakinah berkongsi perasaan rindunya terhadap arwah menerusi laman Facebook, baru-baru ini.
Sementara itu, Syakinah berkata dia enggan lagi menulis luahan di media sosial kerana bimbang tindakannya itu akan menimbulkan rasa kurang senang segelintir pihak.
Berat mama pun semakin hari semakin turun daripada 52 kilogram mendadak turun ke 46 kilogram!
“Mama tak mahu menulis panjang menumpahkan segala perasaan. Bimbang ada yang akan meluat dan menyampah menuduh mama tak habis-habis meraih simpati. Cukuplah mama katakan rindu mama pada kakak masih belum hilang.
“Mama seolah-olah merasakan kakak ada job menyanyi di tempat yang jauh dan lambat lagi akan balik ke rumah. Kadang-kadang mama melihat telefon menunggu Whatsapp kakak masuk… scroll chat kita yang lama, dengar voice note kakak pada mama,” ujarnya.
Gara-gara rindu yang terlalu mendalam, Syakinah berkata dia tidak mampu tidur lena sehingga berat badannya turun mendadak.
“Orang takkan mengerti apa perasaan yang mama lalui saat ini, susah untuk mama bangkit semula dari kesedihan ini kakak. Berat mama pun semakin hari semakin turun daripada 52 kilogram mendadak turun ke 46 kilogram.
“Setiap malam selama 40 hari juga mama tidur bertemankan air mata. Mama tak pernah lupa doakan kesejahteraan kakak di sana dan tak lupa juga sedekah Al-Fatihah untuk kakak.
“Group Telegram peminat kakak mengadakan tahlil online melalui Google Meet. Bahagialah kakak di sana ya. Bisik pada Allah, semoga Allah kumpulkan kita sekeluarga bersama semula di syurga kelak… insyaAllah,” katanya.
Sandra atau nama sebenar Alessandra Dianne Ampuria meninggal dunia pada 11 September lalu selepas enam hari bertarung nyawa di unit rawatan rapi (ICU), Hospital Putrajaya.
Pada 5 September lalu, Allahyarham Sandra terbabit dalam kemalangan Lebuh Raya Utara Selatan Hubungan Tengah (Elite) berhampiran Subang Jaya, ketika dalam perjalanan mengikuti latihan konsert minggu keempat Big Stage 2020 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC).
Jenazah dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Kauluan, Sabah.
Sama-sama kita sedekahkan Al-Fatihah.