FOTO JENAZAH YUS JAMBU DAN PERKARANGAN PENGEBUMIAN
Berita pemergian arwah Yus Jambu sangat mengejutkan! Sesungguhnya Allahyarham telah banyak menggembirakan dan membuatkan orang ramai tersenyum serta tergelak dengan lawaknya. Namanya mula dikenali ramai setelah menjuarai program Raja Lawak musim pertama dan menjadi popular selepas gandingannya dengan Tauke dalam kumpulan Jambu dalam Maharaja Lawak.
Antara tagline Yus yang paling mendapat perhatian adalah ‘Boleh tuju lagu’, ‘kicap ada kicap’, ‘Yaya Toure Manchester City’, ‘apa pun tak boleh’ dan ‘kokdiang’.
Yus, atau nama sebenarnya Yussry Edoo, dilahirkan pada 15 Mac 1976 dan berasal dari Kangar, Perlis. Yus dilaporkan rebah selepas menjayakan Raja Band di Dataran Merdeka, Kuala Lumpur. Dia kemudiannya dikejarkan ke Hospital Selayang namun meninggal dunia kira-kira jam 12.15 pagi semalam.
Foto jenazah Allahyarham, kelihatan wajahnya yang tersenyum.
Jenazah Allahyarham Yus telah dibawa untuk dikebumikan di Masjid Nurul Iman Kg Nesam Bintong Perlis. Ramai yang hadir melawat beliau di perkuburan untuk memberi penghormatan terakhir, walaupun beliau hidup sebatang kara selepas kematian kedua-dua orang tuanya.
Di sinilah jasad Arwah Yus Jambu disemadikan, yang dijadualkan selepas zuhur.
Yus banyak berdiam diri, kata rakan serumah…..
Rakan serumah pelawak Allahyarham Yussry Edoo, Wan Sharizon Rahim tidak menyangka perubahan sikap arwah yang tidak banyak bercakap kebelakangan ini menjadi petanda beliau akan pergi selama-lamanya.
Wan Shahrizon yang sudah mengenali Yussry atau Yus selama hampir 20 tahun berkata, selepas arwah meninggal dunia akibat sesak nafas malam tadi, barulah beliau perasaan perubahan sikap teman baiknya itu.
“Sepanjang mengenali arwah, dia suka bergurau. Bagaimanapun, sejak akhir-akhir ini saya dapati dia kurang bercakap. Selalunya dalam kereta dia suka berbual, tetapi kebelakangan ini lebih banyak mendiamkan diri.
“Sebenarnya, saya tidak perasaan perubahan sikap beliau sehinggalah malam tadi.
“Banyak lagi perubahan sikap arwah sebelum dia pergi, tetapi sukar untuk saya mengingati semuanya,” kata Shahrizon yang berada di sisi ketika Yus menghembuskan nafasnya yang terakhir.
Shahrizon berkata, ketika Yus tampil membuat persembahan pada pertandingan akhir Raja Band di Dataran Merdeka, malam tadi, beliau melihat Yus seperti termengah-mengah.
Sebaik persembahan berakhir, Yus meminta dihantar pulang dengan segera.
“Yus kelihatan sangat penat sehingga menolak permintaan beberapa peminat yang ingin bergambar dengannya di belakang pentas. Sebelum ini, dia bukan macam itu.
“Yus biasanya akan melayan setiap peminatnya. Sebaik masuk ke dalam kereta, beliau membuka kasut dan bajunya serta bersandar kepenatan,” katanya yang menemani Yus menjayakan persembahan itu.
Shahrizon berkata, di dalam kereta beliau sempat berseloroh dengan Yus mengenai jenis pekerjaan disukainya.
“Saya cakap antara main bola sepak dan menyanyi, mana satu lebih penat. Lantas Yus jawab menyanyi,” katanya.
Beliau berkata, sebaik melalui Jalan Ipoh, Yus seperti terkena serangan sawan dan terus tidak sedarkan diri.
“Kami sangka Yus hanya pengsan. Kami segera membawanya ke Hospital Selayang. Apabila tiba di bahagian Zon Merah, Unit Kecemasan, doktor yang memeriksanya mengatakan Yus sudah meninggal,” katanya.
Shahrizon berkata, arwah sebelum ini pernah mengalami masalah jantung dan kencing manis.
Yus yang juga anak bongsu dari tiga beradik, tidak pernah berkahwin. Salah seorang abang Yus juga dikatakan sudah meninggal dunia. – Berita Harian
Damailah engkau di alam sana, semoga tergolong dalam kalangan orang-orang yang beriman. AL-FATIHAH..